Khamis, 9 Mei 2013

Tsunami Cina: Pemimpin Umno sanggah kenyataan Najib

 
Tun Abdullah Ahmad Badawi berpendapat adalah tidak wajar untuk mengaitkan keputusan PRU13 lalu sebagai isu perkauman.



Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kemerosotan prestasi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) sebagai akibat dari berlakunya ‘tsunami Cina’ disanggah oleh para pemimpin Umno sendiri.

Terbaru, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berpendapat adalah tidak wajar untuk mengaitkan keputusan PRU13 lalu sebagai isu perkauman.

Katanya, adalah tidak adil untuk menuduh dan menyalahkan kaum tertentu terhadap keputusan PRU13 lalu dan perkara itu tidak boleh dibiarkan berlaku.

“Kita tidak boleh membiarkan sebarang percubaan untuk menjadikan keputusan pilihan raya sebagai isu perkauman. Tindakan tuduh-menuduh dan menyalahkan mana-mana komuniti adalah tidak adil dan tidak memberi manfaat,” katanya.

Semalam, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menggesa semua pihak berhenti dari menuding jari dan memainkan isu perkauman selepas PRU13, yang jelas merujuk kepada kenyataan Najib itu.

Khairy meminta semua pihak bertenang dan sesiapa pun tidak harus lekas membuat kesimpulan dan menyalahkan sesuatu kaum.

Ahli Parlimen Rembau itu menegaskan bahawa bukan bangsa Cina sahaja yang memihak kepada pembangkang, perubahan juga berlaku di kawasan-kawasan bandar.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah yang tewas di Parlimen Temerloh menggesa rakyat supaya menjauhi dari bersikap rasis berhubung keputusan PRU13 dan beliau yakin rakyat tidak mengundi berdasarkan sentimen perkauman.

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata, rakyat sebaliknya mengundi berdasarkan prospek pembangunan seperti isu-isu utama seperti insfrastruktur dan kebajikan.

Saifuddin berkata, walaupun beliau tewas di kawasan majoriti Cina tetapi para pengundi bukannya anti Melayu dan sama ada mereka mengundinya (Saifuddin) atau tidak, rakyat telah membuat pilihan yang bijak.

Apa lagi Cina mahu? 

Ketika diasak oleh para wartawan mengenai apa komen beliau tentang tajuk muka hadapan akhbar Utusan Malaysia bertajuk “Apa lagi Cina mahu” Selasa lalu, Najib cuba mengelak dan menyatakan anda patut lihat apa kata akhbar-akhbar Cina pula, apa yang dilaporkan bukannya semua betul.

Kenyataan Najib yang berbaur perkauman ini adalah satu percubaan untuk menyalahkan orang-orang Cina yang ramai sudah beralih dan menyokong Pakatan Rakyat pada PRU13 dan beliau enggan menyalahkan diri sendiri maupun partinya, Umno-BN.

Mungkin kerana sudah menyedari akan kesilapannya, semalam Najib melalui Twitternya berkata, tugas beliau seterusnya adalah untuk mengharmonikan isu perkauman.

“Tugas saya seterusnya ialah mengharmonikan isu-isu perkauman. Kami perlu mendekati lain-lainnya dalam penyatuan nasional dan kesederhanaan,” katanya.

Tetapi beliau tidak dapat menerima kenyataan bahawa bukan sahaja masyarakat Cina menolak kepimpinannya tetapi orang-orang Melayu dan masyarakat India terutama di bandar secara keseluruhan sudah menolak Umno-BN.

Jika diambil kira jumlah undi untuk Parlimen dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ternyata BN telah tewas dalam PRU13. Untuk 222 kerusi Parlimen, Pakatan Rakyat memperolehi 5,623,984 undi manakala BN memperoleh 5,237,699 undi.

Untuk 505 kerusi DUN pula, Pakatan Rakyat memperoleh 4,879,699 undi manakala BN memperoleh 4,513,997 undi.

Prestasi BN di bawah Najib juga merudum teruk berbanding prestasi BN pada PRU12 di bawah Abdullah Badawi. Semasa Pak Lah BN memenangi 140 kerusi parlimen dan semasa Najib BN mendapat 133 kerusi iaitu kehilangan sebanyak tujuh kerusi Parlimen.

Ini berbanding dengan Pakatan Rakyat yang mendapat 82 kerusi Parlimen pada 2008, telah meningkat kepada 89 kerusi pada 2013; penambahan sebanyak tujuh kerusi.

Untuk kerusi DUN pula, semasa Pak Lah, BN memenangi 344 kerusi DUN tetapi semasa Najib, jumlah kerusi DUN yang dimenangi BN merosot teruk; tinggal hanya 275 kerusi.

Berbanding dengan prestasi Pakatan Rakyat, kerusi DUN yang dimenangi pada tahun 2008 ialah sebanyak 161 kerusi dan meningkat kepada 230 kerusi pada PRU13, pertambahan sebanyak 71 kerusi.

Tiada ulasan: