Jumaat, 10 Mei 2013

Srikandi KEADILAN gesa pihak berkuasa heret pembunuh adik Nur Amyliana

Oleh: Rusnizam Mahat

KUALA LUMPUR : Srikandi KEADILAN menggesa pihak berkuasa segera menyiasat dan mengheret penjenayah yang melakukan pembunuhan kejam ke atas adik Nur Amyliana, ke muka pengadilan.

Ketua Srikandi, Siti Aishah Shaik Ismail berkata, beliau kesal kerana kejadian itu mengulangi kes serupa sepertimana tragedi yang menimpa arwah Nurin Jazlin Jazmin enam tahun lalu.

“Kami menyampaikan rasa simpati terhadap keluarga Nur Amyliana, anak kecil yang menjadi mangsa kerakusan manusia yang tidak mempunyai perikemanusiaan.

“Kes ini mengulang kejadian sama sebelum ini yang menunjukkan pihak keselamatan perlu meningkatkan keselamatan, terutama di kawasan perumahan dan kediaman awam,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, peningkatan jenayah berlaku disebabkan pihak keselamatan terlalu menumpukan kepada politik negara, hingga mengabaikan perkara penting yang mengancam keselamatan rakyat.

“Transformasi yang dicanang perlu diperelokkan dengan merombak kembali peranan anggota keselamatan dengan memfokus kepada rakyat, bukan hanya kepada politik negara, kerana akhirnya yang menjadi mangsa adalah rakyat di bawah,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berpesan kepada anggota masyarakat, terutama golongan ibu bapa meningkatkan keselamatan anak-anak mereka, supaya tidak membuka peluang kepada jenayah.

Nur Amyliana atau nama manjanya Cinang ditemui mati dipercayai dirogol sebelum dibunuh di sebuah padang di Jalan Batu Nilam 1E, Bukit Tinggi, kelmarin.

Mayat kanak-kanak itu ditemui seorang wanita yang melalui kawasan padang berkenaan, kira-kira jam 10.30 malam. Mangsa ditemui terbaring berhampiran tempat parkir bas kilang di kawasan itu.

Mangsa dikatakan keluar rumahnya di Lorong Batu Nilam 1E, kira-kira jam 12.30 tengah hari. Kes pembunuhan ke atas Nur Amylina bukan pertama kali berlaku.

Sebelum ini, negara digemparkan dengan tragedi menimpa kanak-kanak berusia lapan tahun, Nurin Jazlin Jazmin yang dibunuh dengan kejam pada 2007.

Tiada ulasan: