Selasa, 14 Mei 2013

Seruan hapus sekolah vernakular adalah bertentangan dengan perlembagaan, kata MIC

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR— Syor menghapuskan sekolah vernakular Cina dan Tamil di negara ini bukan merupakan idea yang baik dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, kata Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel (gambar).

Beliau berkata sistem persekolahan vernakular di negara ini sudah lama wujud sebelum kemerdekaan dan adalah amat sedih untuk melihat masih ada orang yang mempersoalkan mengenainya.

“Kami membantah dengan keras syor tersebut kerana ini adalah salah satu hak di bawah Perkara 152 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan di mana 'tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan atau daripada mengajar atau belajar apa-apa bahasa lain',” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas syor Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tan Sri Abdul Rahman Arshad pada sebuah forum di sini semalam bahawa kerajaan disaran menghapuskan sistem persekolahan vernakular bagi memperkukuhkan perpaduan rakyat.

Justeru itu, katanya penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah satu aliran dapat menyatupadukan semula semua kaum di negara ini.

Palanivel menegaskan bahawa statistik menunjukkan bahawa lebih 1,000 pelajar sekolah Tamil yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) telah mencapai keputusan 7A dan 6A.

“Adalah tidak penting sekolah jenis mana kanak-kanak-kanak itu belajar kerana mereka semua menggunakan sukatan pelajaran kebangsaan yang sama,” katanya.

Beliau berkata sumbangan pelajar kepada masyarakat perlu dinilai dengan kualiti pelajar, semangat patriotik mereka kepada negara serta sumbangan masa depan mereka kepada masyarakat Malaysia.

Mengulangi sentimen sama, Penyelaras Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah Tamil, Prof Dr N.S.

Rajendran berkata gesaan seperti itu perlu dihentikan demi mengekalkan perpaduan dalam kalangan penduduk berbilang kaum di negara ini.

“Setiap daripada kita adalah bertanggungjawab untuk menggalakkan perpaduan dan adalah tidak adil untuk memetik satu sekolah vernakular sahaja dan mendakwa mereka tidak sehaluan dengan perpaduan apabila pada hakikatnya wujud sekurang-kurangnya lima jenis sekolah yang terus berkembang di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, ketua biro pendidikan Pemuda MCA, Chong Sin Woon percaya masalah perpaduan akan sentiasa wujud walaupun sistem persekolahan vernacular dihapuskan.

Beliau berkata adalah tidak sesuai untuk orang-orang tertentu menyalahkan perpecahan ke atas sekolah vernakular sahaja kerana usaha meningkatkan perpaduan nasional terletak di bahu semua pihak termasuk kerajaan.

“Ia terbukti sekolah vernakular telah menyumbang kepada sistem pendidikan negara dengan menyediakan peluang untuk kanak-kanak belajar pelbagai bahasa termasuk bahasa ibunda ... oleh itu mempunyai keupayaan untuk menguasainya dan menyumbang secara berkesan ke arah pembinaan negara,” katanya. — Bernama

Tiada ulasan: