Rabu, 22 Mei 2013

Selepas Utusan, kesatuan penjawat awam ikut serta panggilan memboikot AirAsia

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR— Akhbar milik Umno Utusan Malaysia hari ini melaporkan kesatuan sekerja penjawat awam dan dua lagi pertubuhan menyertai panggilan untuk memboikot AirAsia dan AirAsia X selepas tajuk utama mereka yang mensasarkan Cina dibantah selepas pilihan raya 5 Mei.

Akhbar berbahasa Melayu itu melaporkan Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dalam laporan muka hadapan menggesa semua penjawat awam agar memboikot syarikat tambang murah itu sebaliknya menggunakan Malaysia Airlines (MAS) dan anak syarikatnya Firefly semasa cuti sekolah dua minggu akan datang.

“Kuasa pengguna daripada 1.4 juta kakitangan awam mampu memberi kesan kepada AirAsia, jadi saya minta semua kakitangan awam membuktikannya terutama pada musim cuti sekolah nanti,” kata Presiden CUEPACS Datuk Omar Osman dilaporkan berkata, mendakwa beliau menerima beberapa rungutan daripada segelintir kumpulan pengguna yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan AirAsia.

Beberapa kumpulan turut dilaporkan memberi alasan sama untuk menyokong kempen boikot AirAsia seperti Kesatuan Pegawai Eksekutif (Kepak) dan Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), lapor akhbar tersebut.

Untuk menyokong dakwaan mereka terhadap perkhidmatan pesawat tambang murah itu, Utusan turut melaporkan di muka hadapan tentang seorang lelaki mengadu syarikat penerbangan itu enggan menerbangkan mayat arwah ibunya dari Jogjakarta ke Kuala Lumpur walaupun beliau telah membeli tiket
sebelum ini. AirAsia mengatakan mereka tidak mempunyai lesen untuk menerbangkan mayat.

Panggilan untuk memboikot AirAsia dimulakan oleh Awang Selamat dari Utusan dalam minda pengarang akhbar tersebut pada 19 Mei kerana membantah tulisan di Twitter ketua pegawai eksekutif AirAsiaX Azran Osman Rani yang tidak senang dengan garis perkauman yang dimainkan oleh akhbar tersebut selepas pilihan raya 5 Mei.

Sebagai respon, akhbar Utusan telah memainkan komen-komen dari pemimpin Perkasa, Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan aktivis pro Umno yang menyelar Azran, mengatakan beliau angkuh dan Melayu lupa daratan.

Pemangku Presiden Perkasa Datuk Abdul Rahman Bakar yang menyokong Utusan menyelar Azran, mengatakan beliau tidak akan sampai ke kedudukannya sekarang tanpa “kuasa Melayu yang diperjuangkan oleh Utusan Malaysia”. — Bernama

Tiada ulasan: