Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata pihaknya menerima 16 laporan polis berkaitan proses pilihan raya hari ini termasuk 14 berhubung dakwat kekal.

"14 laporan mengenai dakwat kekal yang dikatakan hilang sepenuhnya atau separuh apabila dibasuh, satu laporan kerana terdapat kempen dijalankan di tempat pembuangan undi dan satu laporan tidak berpuas hati kerana nama tiada dalam senarai daftar pemilih sedangkan pengadu sebenarnya tersalah pusat mengundi," katanya.
  
Beliau turut mengingatkan orang ramai agak tidak percaya dengan khabar-khabar angin yang disebarkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau Internet yang mengatakan bahawa keadaan tidak selamat.
  
"Keadaan keselamatan di Perak adalah tenang dan terkawal malah tahap keselamatan telah dipertingkatkan di setiap saluran dan pusat-pusat mengundi," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata proses pengundian di seluruh negara setakat tengah hari ini berjalan lancar, kata
  
Bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Khalid turut memberi amaran tegas kepada pihak yang cuba mencetuskan huru-hara dengan menyebarkan berita palsu melalui laman sosial, khususnya berkaitan pengundi  'hantu'.
  
"Ada pihak yang tidak bertanggungjawab masih menyebarkan berita-berita yang berbentuk propaganda yang boleh menaikkan kemarahan orang awam, iaitu menyebarkan gambar (yang didakwa sebagai) 'pengundi hantu'" melalui Facebook, katanya.
  
Menurutnya polis sudah menubuhkan pasukan bersama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk mengesan mereka yang terbabit dalam isu itu.- Bernama