Jumaat, 24 Mei 2013

PKR Parti Masa Depan, Ada Kerusi Di 14 Buah Negeri


min pix

PETALING JAYA -PKR adalah satu-satunya komponen Pakatan Rakyat yang mempunyai kerusi menang di kesemua 14 buah negeri di Malaysia.

Timbalan Presiden, Azmin Ali berkata, jika dahulu PKR tidak mempunyai satu pun kerusi di Sabah, tetapi kali ini PKR menang tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri Sabah dan satu kerusi Parlimen di Penampang.

“Rakyat meletakkan harapan yang begitu tinggi kepada Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) dengan mandat di 89 buah kerusi Parlimen adalah kejayaan muafakat Pakatan Rakyat.

“Keyakinan rakyat masih utuh bahawa Pakatan Rakyat mampu melakar perubahan. Kerana itu pimpinan Pakatan Rakyat tidak boleh melakukan kesilapan kerana ia mengkhianati cita – cita rakyat,” kata Azmin.

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira lebih 1,500 perwakilan Angkatan Muda Keadilan dan Wanita sempena Kongres Nasional PKR yang diadakan di Dewan Sivik Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) di sini.

Tambah Azmin, PKR bukan bergerak hanya lima tahun sekali sahaja dalam pilihan raya tetapi adalah keazaman dan iltizam politik untuk melaksanakan perubahan besar negara.

Katanya, pembangunan parti secara keseluruhan penting daripada segi kepimpinan, pengkaderan, organisasi dan ekonomi.

“Penubuhan Institut Ta’dib Siyasi perlu ditubuhkan dengan tenaga pelatih yang wibawa, fasilitator yang tetap, kemudahan latihan yang berteknologi canggih serta sejumlah peruntukan yang dapat memenuhi keperluan institusi ini.

“Program ini harus melibatkan pimpinan dan anggota parti di semua peringkat dan ianya perlu berjalan secara berkala dengan sasaran 10,000 kader setiap tahun.

“Usaha ini perlu menjadi fokus Angkatan Muda dan Wanita yang berperanan sebagai nadi kepada usaha kaderisasi bagi membentuk satu gerakan massa yang progresif dan berdaya tahan,” kata Azmin.

Tiada ulasan: