Ahad, 12 Mei 2013

‘Penggeli pundi-pundi’ jadi beban kepada Najib

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Kali ini sahajalah peluang bagi Najib untuk memperbetulkan keadaan. Itu pun jika beliau mempunyai keberanian yang kuat.

Justeru, Najib perlu paparkan barisan yang baru walaupun dari kalangan yang kuat memberikan kritikan terhadap beliau.

“Apa faedahnya hanya mengambil mereka yang mengampu dan yang hanya tahu ‘menggeli pundi-pundi’ beliau sahaja kerana mereka ini akhirnya akan menjadi beban kepada beliau,” tulis Aspan Alias di dalam blognya.

Menurutnya, apabila Najib dalam masalah mereka bukannya boleh membantu tetapi sebaliknya akan menambah beban demi beban terhadap negara dan beliau sendiri.

Bagi Aspan, mereka itu tidak akan lagi bersama beliau apabila beliau dalam masalah apatah lagi semasa persaraan beliau nanti.

“Najib perlu ingat kehidupan yang paling pahit ialah apabila semasa akhir hayat dan dalam persaraan kita dihina oleh masyarakat, lebih-lebih lagi ditinggalkan kawan-kawan dan sahabat yang pernah bersama kita,” tulisnya lagi, sebagaimana di bawah.

Pilihanraya ke-13 merupakan pilihanraya yang paling mahal sekali dalam sejarah negara merdeka. Ia disebabkan kerana membuat persediaan untuk mempertahankan kerusi BN setelah mengalami keputusan buruk pada pilihanraya sebelumnya pada tahun 2008 dahulu. Mahu tidak mahu, semua mesti mengakui ianya amat mahal kerana persediaan itu melibatkan perbelanjaan yang dilakukan secara ‘ad hoc’ kepada rakyat dalam berbagai-bagai bentuk untuk menawan hati rakyat.

Tetapi keputusan tetap lebih buruk kerana keseluruhannya BN telah mendapat hanya 133 kerusi, 7 kerusi kurang dari pilihanraya yang semasa itu dianggap yang terburuk pada 2008 dahulu. Dengan keputusan yang baru ini, ia menunjukkan BN terpaksa melakukan perkara yang baru, jika mahu disebut kembali seperti yang saya sebut dalam posting yang lepas, iaitu melakukan perkara yang belum pernah terfikir oleh kita semua.

Memindahkan situasi politik dari situasi sekarang kepada situasi yang baru dengan jujur akan membawa rakyat kepada ‘ambience’ politik yang berbeza sedikit sebanyak akan membantu menenangkan pemikiran rakyat yang tidak berpuas hati dengan situasi dan keadaan persekitaran politik hari ini. PM Najib perlu memahami apa yang menjadi sebutan ramai yang tidak baik di bawah ini. Beliau mesti memahami semua masalah sebelum beliau berfikir untuk mencuba menyelesaikannya.

Bawalah rakyat berfikir ke persekitaran politik yang baru. Jangan lagi memaparkan peribadi yang sudah dipersoalkan oleh ramai terutamanya berhubung dengan rasuah dan menyalah gunakan kuasa. Tunjukkan yang Perdana Menteri sekarang benar-benar serius untuk memerangi rasuah dengan tidak memasukkan mereka yang sudah mempunyai stigma dan terbukti rasuah dari segi moralnya.

Selama ini rakyat sudah boleh meneka siapa yang akan dimasukkan ke dalam Jemaah Menteri kerana kebiasaannya pimpinan hari ini akan hanya memberikan jawatan penting itu kepada kroni dan rakan kerana kepentingan bersama dalam perniagaan. Inilah persepsi sebenarnya yang menjadikan ramai di antara rakyat sudah membenci UMNO dan BN itu. Rakyat sudah mempunyai persepsi buruk terhadap pemimpin yang sukar dihilangkan.

PM Najib pada persepsi mereka, akan meletakkan terus sahabat-sahabat beliau di dalam Jemaah Menteri orang-orang yang telah terbukti melakukan rasuah politik dan telah pun diambil tindakan terhadap mereka. Tetapi rakyat beranggapan yang Najib akan meletakkan mereka kembali dalam kabinet semata-mata kerana kepentingan politik beliau.

Jika keadaan ini masih berlaku salahkan rakyat berselindung di sebalik parti-parti pembangkang dan melakukan protes secara politik yang telah pun terbukti menjahanamkan imej kerajaan itu? Lagi pun jika mereka lakukan protes politik dan berusaha menukar kerajaan yang mereka sudah tidak yakini itu merupakan hak mereka kerana menukar kerajaan itu bukannya tindakan jenayah.

Ini negara demokrasi. Tetapi apabila rakyat memberontak pihak kerajaan tanpa malu-malu memarahi parti pembangkang kerana rakyat berdiri di belakang parti-parti itu. Jangan diikuti cara Dr Mahathir kerana beliau selalu memarahi sesiapa yang menyokong pembangkang tetapi tidak mahu mengakui kesalahan sendiri. Mahathir mempunyai kepercayaan yang berhak melakukan kesalahan ialah pihak BN sahaja dan tidak perlu diambil tindakan dan terus terlepas dari undang-undang. Mana boleh begitu?

Kali ini sahajalah peluang bagi Najib untuk memperbetulkan keadaan. Itu pun jika beliau mempunyai keberanian yang kuat. Paparkan barisan yang baru walaupun dari kalangan yang kuat memberikan kritikan terhadap beliau. Apa faedahnya hanya mengambil mereka yang mengampu dan yang hanya tahu ‘menggeli pundi-pundi’ beliau sahaja kerana mereka ini akhirnya akan menjadi beban kepada beliau.

Apabila Najib dalam masalah mereka ini bukannya boleh membantu tetapi sebaliknya akan menambah beban demi beban terhadap negara dan beliau sendiri. Mereka ini tidak akan lagi bersama beliau apabila beliau dalam masalah apatah lagi semasa persaraan beliau nanti. Najib perlu ingat kehidupan yang paling pahit ialah apabila semasa akhir hayat dan dalam persaraan kita dihina oleh masyarakat, lebih-lebih lagi ditinggalkan kawan-kawan dan sahabat yang pernah bersama kita.

Ingatlah, segala amal serta ubudiah kita ialah untuk kita mati dalam kalimah dan segala bakti kita kepada masyarakat yang untuk kita hidup dalam ketenangan semasa dalam sisa-sisa hayat kita nanti.

Berkawan dan bersahabatlah dengan mereka yang diyakini bersama kita terus-terusan sehingga hari tua kita. Itulah sebabnya Najib perlu mengenali siapa sahabat dan siapa rakan. Najib perlu ingat UMNO itu untuk membela orang ramai. Parti itu bukannya untuk menyediakan kepentingan seseorang yang mahu naik dalam parti dan akhirnya menguasai negara. UMNO itu untuk orang ramai.

Najib perlu bersahabat dan berkawan dengan rakyat bukannya bersahabat dengan mereka yang akhirnya membebankan beliau sendiri. Doa rakyat biasa yang ramai untuk beliau lebih mustajab dari doa kroni-kroni yang hampir dengan beliau kerana kepentingan peribadi mereka sahaja.

Tiada ulasan: