Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) hari ini menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap sebuah gereja Evengalis kerana didakwa menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan gereja.

Presidennya Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, penggunaan kalimah Allah di poster dengan logo National Evangelical Christian Fellowship (NECF) yang disiarkan di Internet itu bersifat jenayah dan melanggar Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.

NONE"Adalah menjadi suatu kesalahan bagi mana-mana pihak yang secara sengaja dan berterusan menggunakan kalimah Allah dan beberapa kalimah lain yang berakar-umbi dari agama Islam dalam konteks agama bukan Islam bagi sebarang tujuan," katanya.

Risalah itu antaranya menyebut: "Panggilan kepada semua gereja dan orang Kristian untuk merangkul, mengasihi dan memberkati negara ini dengan hadirat dan kuasa Allah."

Dalam kenyataannya, Zainul Rijal juga berkata, larangan itu masih terpakai dan berkuatkuasa walaupun permohonan penggunaan kalimah itu sudah dibawa ke mahkamah oleh Gereja Titular Roman Bishop Catholic.

Ini kerana, tambahnya, terdapat perintah penggantungan terhadap keputusan awal Mahkamah Tinggi pada 31 Disember 2011 berhubung kebenaran menggunakan nama Allah di dalam penerbitan berbahasa Melayu The Herald.

Sementara itu, PPMM juga menggesa NGO dan umat Islam serta jabatan agama Islam negeri-negeri tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dimulakan.