Oleh S.Barathidasan
Persatuan Progresif India Malaysia (MIPAS) berpendapat ketua kerajaan sementara Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak cukup terdesak dengan menghantar perutusan khas sempena Pilihan Raya Umum ke-13 kepada semua pengundi masyarakat India, diseru menyokong calon BN dan memberi mandat kepada Barisan Nasional pada PRU13 nanti.
Dalam perutusannya, beliau memohon maaf kepada pengundi masyarakat India di atas kelemahan dan kesilapan pimpinan lepas dan meminta diberi satu peluang. Perutusan ini menimbulkan lima persoalan penting.
Persoalan Pertama: Mengapa mesej ini dipanggil perutusan? Biasanya Perutusan hanya diberikan kepada sambutan-sambutan yang penting. Apakah Najib anggap PRU13 sebagai satu sambutan yang rakyat akan tari-menari dan meriah? Tetapi, PRU13 adalah merupakan satu peristiwa penting dan serius yang mana rakyat akan menentukan masa depan negara yang cemerlang.
Persoalan Kedua: Mengapa perutusan ini hanya ditujukan kepada masyarakat India? Kenapa masyarakat Melayu dan Cina tidak menerima perutusan ini? Atau, apakah mereka akan menerima perutusan lain yang kandungannya mungkin lain? Tapi, apa yang hairan ialah Bapa 1Malaysia yang setiap hari melaung-laungkan slogan 1Malaysia bertindak rasis. Kalau nak hantar, biarlah hantar mesej yang sama kepada semua rakyat. Mengapa perlu ada ‘double standard’. Ia nampak seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena.
Persoalan Ketiga: Dalam perutusannya, Najib meminta maaf atas kelemahan pimpinan lepas. Tetapi, Najib gagal menyatakan dengan jelas pimpinan yang mana satu? Adakah pimpinan Abdullah Ahmad Badwi atau Mahatir Mohamad? Jika Najib kata Abdullah, maka dia adalah penderhaka. Abdullah cuba membawa perubahan dalam sistem pemerintahan. Ianya tidak disukai oleh pimpinan UMNO yang lain termasuk Najib yang merasakan kedudukan UMNO akan tergugat. Maka, Abdullah diberikan tekanan demi tekanan sehingga terpaksa letak jawatan dan serahkan kepada Najib yang memang tunggu-tunggu.
Jika pimpinan lepas itu merujuk kepada Mahathir, maka sekurang-kurangnaya jujur sedikit dalam perutusannnya. Memang tidak dapat dinafikan, segala kebinasaan yang berlaku adalah disebabkan Mahathir. Selama 22 tahun Mahathir dengan pentadbiran kuku besinya memecah belahkan perpaduan kaum. Dasar pecah dan perintah amalan British yang satu ketika ditentang hebat oleh Mahathir, telah digunakan dengan sebaik-baiknya. Masa inilah, ramai warga asing menjadi warganegara Malaysia, satu pengkhianatan yang tidak dapat dimaafkan. Ianya dilakukan demi survival politik Mahathir dan UMNO. Maka, Najib perlu menjelaskan pimpinan yang mana satu?
Persoalan Keempat: Andaikan pimpinan lepas yang Najib maksudkan adalah pimpinan Mahathir, maka jelas Najib mengakui bahawa pimpinan mentornya itu mempunyai banyak kelemahan dan kesilapan yang membawa negara kita ke tahap ini. Ia juga membawa keadaan sehingga Najib terpaksa memohon maaf. Jika sudah mengakui, mengapa Mahathir masih diberi ruang yang cukup besar dalam pentadbiran sekarang. Mahathir bermaharajalela dengan komen-komennya yang jelas memjejaskan perpaduan kaum. Mempunyai pengaruh dalam menentukan calon-calon rasis yang memang ditolak oleh semua lapisan masyarakat. Gambaran berlaku di mana Perdana Menteri sekarang ialah Mahathir dan bukannya Najib. Maka, apakah ikhlas Najib memohon maaf di satu sudut, di sudut lain pula memberi pengiktirafan sepenuhnya kepada pimpinan lepas yang menolak sehingga keadaan terdesak sekarang. Najib perlu memperjelaskan ini sebelum menghantar perutusan.
Persoalan Kelima: Jika benar Najib memohan maaf secara jujur berhubung “Kesilapan” pimpinan lepas, adakah Najib sudah lupa bahawa dia juga adalah sebahagian daripada pimpinan lepas yang membawa kepada keadaan teruk. Najib telah berama lama dalam kerajaan sejak Mahathir, memegang jawatan-jawatan penting seperti Menteri Belia dan Sukan, Menteri Pelajaran, Menteri Pertahanan dan jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan Abdullah. Maka, mana perginya rasa tanggungjawab Najib kepada masyarakat India? Sekolah-sekolah Tamil tidak diberikan perhatian langsung oleh Menteri Pelajaran Najib. Belia-belia India diabaikan Menteri Belia dan Sukan Najib. Mengapa Najib yang sama sekarang beria-ia hantar perutusan minta maaf, beri itu dan beri ini. Ada yang mengatakan Najib sekarang sudah berubah? Kalau itu soalnya, mengapa Najib menuduh Anwar Ibrahim dengan mengatakan Anwar Ibrahim tidak membuat apa-apa untuk masyarakat India semasa dalam kerajaan dan menjadi Timbalan Perdana Menteri. Mengapa isu Anwar yang mengatakan tidak akan benarkan bunyi loceng di kuil-kuil Hindu ditimbulkan? Najib pernah mengeluarkan keris dan menciumnya dan mengatakan kerisnya tidak akan diletakkan selagi tidak melihat darah dalam perhimpunan Pemuda semasa menjadi Ketua Pemuda UMNO. Siapa yang lebih bahaya Najib atau Anwar? Jika Najib dikatakan sudah berubah sekarang dengan slogannya 1Malaysia, apakah salah jika Anwar juga diberi peluang dan boleh dianggap sebagai sudah berubah juga dengan slogan ‘Harapan Rakyat’?
Kesimpulannya, Najib bukan berubah, Najib yang kita lihat dulu, masih ada dan wujud. Najib hanya memakai “TOPENG 1MALAYSIA” yang akan dibuangnya sebaik sahaja Barisan Nasional menang dalam Pilihan Raya Umum ke-13. Maka, Najib yang asal muncul kembali. Jika BN kalah pun, Najib yang asal akan kembali dengan unsur rasisnya. Jika ditanya mana satu Najib yang bahaya kepada masyarakat dan negara, jawapannya sudah tentu Najib yang menang. Jika menang sudah tentu negara akan kembali kepada zaman Mahathir. Jika Najib kalah, maka negara akan mendapat satu pentadbiran baru yang sekian lama rakyat menanti-nantikan. Ia akan membawa satu “Puthiya Nambikei” (Harapan Baru) kepada rakyat Malaysia. Tapi, kita tidak akan tinggalkan Najib begitu sahaja atau tidak menghormati pengorbanan yang sekian lama. Maka itu, kita akan menjadikan Ketua Pembangkang yang digeruni kerajaan Pakatan seperti mana kini Ketua Pembangkang Anwar digeruni oleh kerajaan Barisan Nasional. Najib dengan pengalaman yang begitu lama dalam kerajaan pasti akan menjadi Ketua Pembangkang yang sangat kuat dan disegani oleh semua. Jika rakyat berjaya melakukan ini, maka yang pasti menang adalah bukan Najib atau Anwar, tetapi RAKYAT, Inilah yang perlu menjadi BALASAN PERUTUSAN RAKYAT YANG PENTING KEPADA NAJIB.
Penulis ialah Setiausaha Agung Persatuan Progresif India Malaysia (MIPAS).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan