Rabu, 1 Mei 2013

Mengapa ada ulama tolak PAS?



Bersama Dato Harun Din

DATO’, mengapa berlaku di kalangan ulama tersohor di Malaysia, boleh menolak dan memusuhi perjuangan Islam yang digarap oleh PAS dan sebaliknya menjadi penyokong Umno bermati-matian mempertahankannya.

Apakah ilmu Islam mereka itu berlainan dengan ilmu Islam yang ada pada Tuan Guru dalam PAS seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Dato’ sendiri dan ramai Tuan-Tuan Guru. Bolehkah Dato’ mengulas agar direnungi semua pihak, mengapa perkara sebegini terjadi di Malaysia. Terima kasih.

ZULKARNAIN BASRI
Gombak Setia, Selangor

Jawapan Dato Harun Din  

ALLAH SWT menciptakan manusia pada kejadiannya, akan tetapi berbeza pada pendiriannya.
Perbezaan yang amat ketara adalah antara iman dengan kufur.

Firman Allah (mafhumnya): “Rasul-rasul Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu). Di kalangan mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya, dan ditinggikan-Nya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan. Dan Kami berikan Nabi Isa ibni Maryam beberapa keterangan kebenaran (mukjizat), serta Kami kuatkan dia dengan Ruhul-Qudus (Jibril). Dan sekiranya Allah mengkehendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian daripada rasul-rasul itu tidak berbunuh-bunuhan sesudah datang kepada mereka keteranganketerangan (yang dibawa oleh Rasul mereka). Tetapi mereka bertelingkah, maka timbulah antara mereka: orang yang beriman, dan orang yang kafir. Dan kalaulah Allah menghendaki tentulah mereka tidak berbunuh-bunuhan; tetapi Allah melakukan apa yang dikehendaki-Nya.” (Surah al- Baqarah, ayat 253)

Di kalangan para sahabat pun yang telah Islam, tetapi berubah menjadi munafik, malah daripada kalangan mereka juga ada yang tidak mematuhi petunjuk Rasulullah s.a.w., dalam peperangan Uhud mereka melanggar arahannya kerana ada maslahat tersendiri, sehingga menyebabkan Rasulullah kecewa dan hampir terkorban.

Peperangan Uhud menyaksikan kekalahan tentera Islam akibat pelanggaran kepada arahan Nabi s.a.w. Hal ini diceritakan Allah menerusi firman-Nya (mafhumnya): “Dan demi sesungguhnya, Allah telah menepati janji-Nya (memberikan pertolongan) kepada kamu ketika kamu (berjaya dalam peperangan Uhud kali pertama) membunuh mereka (beramairamai) dengan izin-Nya, sehingga ke masa kamu lemah (hilang semangat untuk meneruskan perjuangan) dan kamu berbalah dalam urusan (perang) itu, serta kamu pula menderhaka (melanggar perintah Rasulullah) sesudah Allah perlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu sukai (kemenangan dan harta rampasan perang-ghanimah).

Ada antara kamu ada yang mengkehendaki keuntungan dunia semata-mata, dan ada antara kamu ada yang menghendaki akhirat, kemudian Allah memalingkan kamu daripada menewaskan mereka untuk menguji (iman dan kesabaran) kamu; dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu, (sematamata dengan limpah kurnia-Nya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melimpahkan kurnia-Nya kepada orang-orang yang beriman.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 152)

Ayat ini jelas menjadi jawapan kepada persoalan anda, iaitu jika ada daripada kalangan sahabat Nabi, yang mementingkan dunia serta melayan nafsu dan mengutamakan tuntutan keduniaan dengan mengingkari perintah Rasul agar jangan turun dari bukit pemanah di Uhud selagi tidak diarah turun.

Ada kalangan mereka (sahabat) begitu tamak sehingga melanggar arahan Rasul. Dalam erti kata lain mereka terlalu mementingkan keduniaan, tidak peduli kepada arahan syarak, maka berlakulah perbalahan dan persengketaan yang membawa kepada akibatnya, angkatan Islam yang dipimpin sendiri oleh Rasulullah s.a.w. menerima kekalahan.

Baginda sendiri menderita mendapat luka-luka yang serius di dalam peperangan itu sehingga tersebar berita awal, Rasulullah s.a.w. terkorban syahid. Senario hari ini tidak banyak berubah seperti senario yang saya paparkan di atas.

Di kalangan ulama tidak semuanya mengejar akhirat, mementingkan tuntutan dan memenuhi kehendak syarak.

Hal ini seperti firman Allah (mafhumnya): “Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa antara kamu berpaling tadah daripada agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemahlembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguhsungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela.

Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki- Nya; kerana Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi Meliputi Pengetahuan-Nya.” (Surah al- Maidah, ayat 24)

Ada pun orang-orang yang Allah ketahui iman mereka kepada Islam sebenarnya goyang, kurang yakin kerana lebih tertarik kepada runtunan hawa nafsu keduniaan, kemewahan, pangkat, harta, pengaruh, kuasa, sanjungan dan puji-pujian, menyebabkan mereka lupa kepada Allah.

Mereka lupa bahawa nafsu manusia yang ammarah telah menguasai hidup mereka dan mereka meninggalkan suruhan Allah dan tidak mempedulikan tuntutan Allah.

Hal ini Allah ceritakan dalam firman-Nya (mafhumnya): “Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahui-Nya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?” (Surah al-Jaathiya, ayat 23)

Oleh kerana itulah al-Imam al-Ghazali dalam Ihya ‘Ulumuddin, kitab yang termasyhur, kata beliau, ulama ini ada dua jenis, pertamanya ulama al-akhirah; kedua ulama addunya. Ulama dunia yang dicela dan tercela. Itulah juga yang dimaksudkan Allah dalam ayat di atas, ulama ada ilmu yang banyak, tetapi mengikut jalan yang sesat.

Oleh kerana itu tidaklah menghairankan, memang ada yang tinggi ilmu Islamnya, tetapi tuntutan kehidupan yang besar daripada tuntutan akhirat, maka terheretlah dia ke lembah keduniaan yang melampau, sehingga tidak kisah untuk memartabatkan Islam untuk menunggu balasan di akhirat. Wallahu a’lam.

Tiada ulasan: