Jumaat, 17 Mei 2013

Matlamat perjuangan PAS tidak terjejas


DETIK DAILY

KUALA LUMPUR: Timbalan Mursyidul Am PAS Dato' Dr Haron Din berkata kegagalan pemimpin utama merebut kerusi di peringkat nasional tidak menjejaskan fokus dan matlamat parti itu untuk bersaing dengan Umno walaupun selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Selepas pilihan raya umum 2008, PAS bekerjasama dengan KeADILan dan DAP membentuk Pakatan Rakyat sebagai alternatif kepada Barisan Nasional (BN). Dalam tempoh itu parti pimpinan Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang itu berusaha meraih sokongan pengundi Melayu bagi memastikan kemenangan dalam PRU13.

Namun keputusan PRU13  ramai tokoh utama PAS tewas, termasuk Timbalan Presiden Mohamad Sabu (Parlimen Pendang), dua Naib Presidennya, Dato' Husam Musa (Parlimen Putrajaya) dan Salahuddin Ayub (Parlimen Pulai).

Turut memperoleh nasib yang sama Ketua Penerangan PAS Pusat Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man (DUN Jengka) dan Haron sendiri (Parlimen Arau).

Menurut Ustaz Haron yang tewas kepada bekas Menteri Besar Perlis Dato' Seri Shahidan Kassim, kekalahan pemimpin utama adalah perkara biasa dan ia tidak menggugat perjalanan parti.

Beliau menambah Umno juga kehilangan ramai tokoh utama termasuk Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Besar Johor Dato' Abdul Ghani Othman.

"Kalau begitu bandingkan dengan tokoh-tokoh Umno yang tumbang... contohnya Menteri Besar Johor, Ketua Menteri Melaka dan tokoh-tokoh lain yang tumbang.

"Kalau ada tokoh PAS tumbang, tokoh Umno juga ramai yang tumbang," katanya.

Beliau turut menyifatkan parti komponen BN kecundang habis-habisan pada pilihan raya umum kali ini.

"MCA dan Gerakan kecundang habis-habisan," kata Ustaz Haron merujuk kepada MCA yang hanya menang di enam kerusi Parlimen (berbanding 15 pada 2008) dan Gerakan yang memperoleh hanya satu kerusi berbanding dua lima tahun lalu.

Tiada ulasan: