Isnin, 20 Mei 2013

Mahfuz turun dengar luahan PAS kawasan

Anis Nazri,


KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya PAS Kedah yang baru, Datuk Mahfuz Omar akan turun ke setiap kawasan bagi bertemu ahli akar umbi parti itu untuk mendapatkan maklumbalas berhubung keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Menurutnya, biarpun tarikh belum ditetapkan, ia akan dilakukan dalam tempoh terdekat bagi mendengar sendiri segala perjalanan dan masalah parti di kawasan-kawasan itu.

Ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini, Mahfuz berkata pertemuan dengan semua ketua-ketua cawangan di setiap kawasan akan dilakukan, selain mengatur pertemuan dengan setiap dewan-dewan.

"Saya akan aturkan pertemuan di setiap kawasan, dengan menemui setiap cawangan untuk melihat dan mendengar sendiri permasalahan atau apa sahaja luahan mereka.

"Tidak lain dan tidak bukan ia bertujuan untuk meningkatkan lagi kemantapan parti, selain menjadi medium untuk saya lebih mengetahui perkembangan PAS negeri," kata beliau yang juga ahli parlimen Pokok Sena.

Selain itu, tambah Mahfuz, satu pertemuan tertutup antara anggota perhubungan PAS negeri dengan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang juga akan diadakan pada minggu depan.

Sementara itu, Naib Presiden PAS itu berkata PAS Kedah turut menubuhkan jawatankuasa 'post-mortem' pilihan raya peringkat negeri bagi mengenal pasti punca kekalahan parti itu di Kedah pada PRU13 lalu setelah mentadbirnya selama satu penggal.

Jawatankuasa itu akan dipengerusikan Timbalan YDP PAS Sg. Petani Sobri Osman manakala timbalannya Dr Hayati Othman yang juga Timbalan YDP PAS Pendang.

Jawatankuasa itu diberi tempoh empat bulan untuk melengkapkan laporan sebelum dibentang dan dibahaskan bersama anggota perhubungan PAS negeri.

"Selepas kita terima laporan, dibentang dan dibahaskan, barulah kita akan membuat tindakan selanjutnya bersesuaian dengan hasil post-mortem itu," tegas beliau.

Tiada ulasan: