Selasa, 21 Mei 2013

Kelantan tuan rumah Tilawah al-Quran Kebangsaan

Zamani Mohd Zain,


KUALA LUMPUR: Negeri Kelantan dipilih menjadi tuan rumah kepada musabaqah Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-56 tahun ini.

Majlis tersebut akan diadakan pada 10 hingga 14 Jun ini bertempat di Kompleks Balai Islam, Lundang.

Pemilihan negeri itu merupakan pertama kali sejak 23 tahun ianya ditadbir oleh PAS.

Seramai 30 qari dan qariah dari seluruh negara akan mengambil bahagian pada tilawah berkenaan.

Kelantan juga telah membenarkan qariah mengambil bahagian sejak dua tahun lepas.

Tilawah al-Quran kali ini pada mulanya dijadualkan diadakan 2 hingga 6 Mei lalu, namun ditangguh ekoran pilihan raya umum ke-13.

Perasmian penutup akan disempurnakan Sultan Muhammad V, manakala pembukaan dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam perkembangan sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini berkunjung ke Kelantan bagi meninjau persiapan untuk majlis itu.

Beliau berkunjung ke Kota Darulnaim bertemu Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob di pejabatnya.

Sementara itu, Menteri Besar selepas pertemuan itu berkata, kerajaan negeri menyambut baik Kelantan dipilih sebagai lokasi penganjuran tilawah al-Quran kali ini.

“Insya-Allah kita akan berusaha melaksanakan program berkenaan yang julung kali diadakan di sini dengan sebaik mungkin.

“Saya seperti juga Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini sentiasa bersikap terbuka dalam menjalin kerjasama hubungan antara kerajaan negeri dan pusat demi kebaikan rakyat,” katanya.

Hadir sama pada pertemuan itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau, Dato’ Mohd Nasuruddin Daud dan pegawai kanan kerajaan pusat serta negeri.

Jamil Khir berkata, tilawah al-Quran tahun ini turut menawarkan hadiah kereta Proton Preve kepada johan qari dan qariah.

Selain itu katanya, hadiah wang tunai RM15,000, piala pusingan, piala iringan, pakej menunaikan haji dan sijil penyertaan.

"Semua negeri akan menghantar peserta qari dan qariah termasuk Kelantan," katanya.

Tiada ulasan: