Ahad, 12 Mei 2013

Kabinet Najib atau kabinet 'warlords'

ASPAN ALIAS


Apa yang ‘unthinkable’ yang Najib perlu lakukan selepas menang tipis dalam PRU 13 yang baru selesai ini? Saya bermaksud untuk Najib mengeluarkan imej kerajaan dari imej yang ada pada hari ini sebagai salah satu dari banyak pertimbangan untuk melakukan ‘the unthinkable’ itu.

Pertamanya, dari segi struktur kabinet lantikan beliau mesti berbeza dari yang kita lihat selama ini. Merubah penampilan kementerian kepada rakyat itu boleh memberikan imej baru kepada apa yang ingin beliau lakukan jika beliau mempunyai pemikiran yang betul dan jujur.

Keduanya, barisan kabinet lantikan beliau nanti wajar mengeluarkan mereka yang telah tercalar dengan rasuah didalam parti atau pun kerajaan. Jika masih ada ahli jemaah menteri yang masih mempunyai stigma rasuah itu bukannya membantu Najib tetapi akan menghancurkan kepimpinannya sendiri. Untuk melakukannya, Najib perlu mempunyai keberanian yang luar biasa kerana tindakan beliau untuk melakukan perubahan itu akan mendapat tentangan dari ‘warlords’ dalam UMNO itu sendiri.

Apa yang perlu Najib ketahui, jika terpengaruh dengan tekanan ‘warlords’ ini Najib sendiri akan bersara sebagai seorang bekas pemimpin negara yang dicemuh dan dinesta rakyat sampai ke mati. ‘Warlords-warlords’ ini tidak akan ambil peduli terhadap Najib setelah mereka mendapat kehendak mereka. Mereka-mereka ini akan mengelilingi dan menjunjung pemimpin yang baru yang menggantikan beliau itu nanti. Bukankah itu budaya lama UMNO yang tidak akan dapat dihakis lagi?


Najib tidak boleh ada ‘obligation’ keterlaluan dengan melantik mereka yang berimej kotor walaupun mereka itu penyokong kuat beliau kerana jika dilakukan juga maka rakyat akan memberontak lagi dalam pilihanraya yang akan datang. Jika Najib serius untuk melakukan perubahan dan pembaharuan maka nama-nama busuk tidak boleh berada dalam kabinet beliau. Jangan pula terpaksa melantik Ali Rustam, misalnya semata-mata memberikan tempat kepada beliau kerana beliau kalah di Bukit Katil baru-baru ini. Semua orang tahu siapa beliau dalam pemilihan parti beberapa tahun dahulu.

Maksud saya jika Najib serius, beliau perlu melakukan pembaharuan secara ini kerana mereka inilah yang membuatkan UMNO tidak lagi dihormati oleh rakyat. Jika masih ada lagi nama-nama seperti ini tersenarai dalam kabinet Najib, maka itu merupakan satu petanda buruk yang akan dihadapi oleh UMNO tidak berapa lama lagi. Rakyat sudah letih dengan imej rasuah UMNO ini.

Pembentukan kabinet kali ini mesti dan wajib melambangkan yang Najib serius untuk memberikan barisan kabinet yang meyakinkan rakyat. Najib mesti memenuhi ‘obligation’ terhadap rakyat, bukannya ‘obligation’ terhadap kroni atau mengambil kesempatan untuk membalas budi kepada individu yang berimej buruk yang membantu beliau dalam politik.

Pemimpin-pemimpin gantian mesti datang dari mereka yang bersih dari imej rasuah dan berpengalaman untuk melakukan pelan pembaharuan yang sebenarnya. Ini sahaja peluang yang ada kepada Najib untuk memulihkan imej beliau dari seorang yang penakut kepada yang berani dan mampu menghadapi risiko dan tekanan dari mana-mana ‘warlords’ di sekeliling beliau. ‘Warlords-warlords’ ini mungkin tidak berapa selesa tetapi di sebaliknya beliau akan disokong rakyat yang ramai.

Selalunya ‘warlords-warlords’ ini bukan ikhlas untuk memberikan nasihat dan pandangan. Pandangan dan nasihat mereka itu adalah untuk kepentingan mereka semata-mata dengan menggunakan pengaruh Najib itu. Segala bala dan petakanya Najib yang akan menerimanya.

Biarlah Najib ambil mereka yang mengkritik beliau asalkan sahaja mereka boleh memberikan bantuan dan sokongan kepada beliau untuk melakukan perubahan yang dicita-citakan oleh Perdana Menteri itu.

Tiada ulasan: