Ahad, 12 Mei 2013

Janji: MCA lepas tangan terhadap Cina bandar

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Ahmad Shah (gambar) menempelak sikap MCA yang menarik diri dan berlepas tangan dengan janji-janji mereka kepada orang Cina Kuala Terengganu pada Pilihan raya Umum ke-13 minggu lalu.
Beliau dukacita dengan tindakan MCA mengarahkan orang-orang Cina di bandar bertemu dengannya dan Adun Bandar, Azan Ismail bagi menyelesaikan janji yang dibuat oleh MCA sendiri.

Katanya, sikap MCA menutup pejabatnya itu 'tidak comel', kurang sabar dan tidak bertanggungjawab terhadap rakyat, sedangkan MCA masih merupakan komponen BN yang masih memerintah negeri dan negara.

"Nampak gayanya MCA telah bertindak untuk menakut-nakutkan kaum Cina, padahal dia yang buat janji, dia dah tutup pejabat, sepatutnya dia yang menyelesaikannya.

"Bagaimana pun kita tidak menolak, walau pun dia yang membuat janji asalnya, tapi insya Allah kita akan ambil tindakan apa-apa yang dipersetujui oleh MCA dengan orang-orang Cina, tapi kita tidak dapat penuhi semuanya," jelasnya dipetik Buletin Online.

Oleh itu, beliau berkata, pihaknya telah membuka sebuah pusat khidmat Ahli Parlimen Kuala Terengganu di sebelah kedai KFC berhadapan dengan Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Pada 9 Mei lalu, beliau telah menubuhkan Sekretariat Pusat Khidmat tersebut, menyiapkan keperluan pejabat dan orang-orang Cina bandar boleh mendapatkan khidmat bermula hari ini, 12 Mei.

Menurutnya, pusat tersebut akan beroperasi pada waktu pejabat, lima hari seminggu, Ahad hingga Khamis dan setiap aduan rakyat akan ditangani oleh seorang petugas daripada Pakatan Rakyat.

Justeru, menurut beliau, orang Cina di bandar Kuala Terengganu tidak perlu resah dan risau, walaupun wakil MCA tidak ada kerana telah kalah dalam PRU13, wakil-wakil masyarakat Cina dari Pakatan Rakyat khususnya DAP akan memberikan khidmat mereka.

Tiada ulasan: