Ahad, 26 Mei 2013

Jadilah PM, menteri seluruh rakyat Malaysia Jadilah PM, menteri seluruh rakyat Malaysia


DETIK DAILY

Kali ini kita tertarik dengan iltizam Menteri Belia dan Sukan baru, Khairy Jamaluddin untuk menjadi Menteri Belia dan Sukan Malaysia dan bukan Menteri Belia Barisan Nasional (BN).

Permintaan Khairy untuk menjadi seorang menteri bagi seluruh rakyat Malaysia, mengukuhkan lagi dakwaan bahawa selama ini Perdana Menteri (PM) dan anggota Kabinetnya berkhidmat untuk kepentingan BN

. Berdasarkan situasi ini, wujudlah pelbagai masalah dan pihak paling teruk menerima akibatnya adalah rakyat. Ini kerana bukan semua rakyat mendapat perkhimatan sama rata – banyak pihak termasuk kerajaan negeri tersisih semata-mata kerana mereka tidak sealiran politik.

Kita melihat keazaman Khairy untuk menjadi menteri bagi semua, adalah satu lonjakan ke arah politik baru yang insya-Allah akan membuka dimensi baru senario politik tanah air. Sekalipun PM dan anggota Kabinet selama ini berkhidmat untuk kepentingan BN, kita tidak mengharapkan politik balas dendam sebaliknya mengesyorkan pemimpin BN bermuhasabah diri; Khairy sudah menunjukkan jalan, mulai sekarang berkhidmatlah sebagai PM dan menteri untuk semua rakyat.

Sebagai pemimpin semua rakyat, adalah wajar untuk mereka menghentikan segala amalan kurang sihat seperti menafikan hak kerajaan negeri dalam Persekutuan, hak ahli Parlimen dan Adun pembangkang mendapat peruntukan pembangunan dan mengamalkan politik peras ugut yang berleluasa ke atas agensi dan kakitangan kerajaan. Sewajarnya PM bertindak sebagai seorang negarawan dan bukan pemimpin parti politiknya. PM dan barisan kepimpinannya perlu dapat membezakan antara ‘negara’, ‘kerajaan’ dan ‘parti politik’.

Sesebuah masyarakat bakal mengundang krisis sekiranya gagal membezakan ketiga-tiga identiti ini. Misalnya Umno adalah sebuah parti politik dan jika ia dan gabungannya ditakdirkan diberi mandat oleh rakyat untuk menjadi sebuah kerajaan, maka kerajaan ini perlulah berkhidmat untuk semua rakyat termasuklah mereka yang menyokong dan menentangnya.

Sebarang kemudahan termasuk peruntukan disediakan adalah untuk semua rakyat; ini kerana dana awam diperolehi adalah sumber negara yang dimiliki semua rakyat.

Penentang Umno tetap membayar cukai seandainya Umno-BN memerintah. Sesiapa sahaja boleh menegur dan menjatuhkan kerajaan sedia ada melalui pilihan raya bebas dan adil, tetapi menentang kerajaan tidak bermaksud antinegara. Rakyat menegur dan mengkritik kerajaan demi kebaikan negara.

Namun apa yang berlaku selama ini, rakyat dikelirukan untuk mempercayai bahawa parti politik yang menang pilihan raya (Umno-BN) adalah kerajaan dan negara; justeru itu siapa saja penentang Umno-BN dianggap sebagai pengkianat kepada kedua-dua identiti ini.

Akhbar arus perdana, terutamanya mutakhir ini mempromosi seolah-olah Umno-BN itu adalah kerajaan dan kerajaan itu adalah Umno-BN. Sebarang percubaan mengkritik atau langkah untuk menggantikan Umno-BN sekalipun melalui pilihan raya dilabelkan sebagai tindakan pengkhianat sedangkan pihak yang bertindak sedemikian melakukannya dalam kerangka demokrasi berperlembagaan yang menjadi teras sistem pemerintahan negara ini.

Kita bimbang dengan menjadi PM BN dan menteri BN telah menyebabkan ‘politiking’ berterusan sepanjang masa dan ini amat merugikan negara sedangkan di negara maju selepas pilihan raya, semua pihak berusaha keras memantapkan rakyat dan negara termasuk di persada antarabangsa tanpa bercakap lagi mengenai politik sempit parti masing-masing!

Tiada ulasan: