Rabu, 22 Mei 2013

Insiden gaduh : Polis digesa siasat kenyataan MP Serdang

SINAR HARIAN

GEORGETOWN - Naib Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Norman Zahalan hari ini membuat laporan polis terhadap Anggota Parlimen Serdang, Ong Kian Ming berhubung kenyataan dalam laman sosial miliknya yang didakwa berbaur hasutan dan menyerang beliau secara peribadi.
  
Beliau berkata Ong dalam kenyataan itu memfitnah dirinya terlibat dalam insiden kekecohan di perhimpunan lilin menuntut pembebasan aktivis mahasiswa, Adam Adli Abd Halim anjuran pelajar Universiti Sains Malaysia (USM).
  
"Saya minta pihak polis siasat kenyataan fitnah itu kerana beliau tiada di tempat kejadian. Betul saya ada di sana tapi saya datang pun lewat dan bertujuan meleraikan kekecohan bukanya bertindak ganas," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Sungai Nibong di sini.
  
Beliau yang juga bekas Ketua Pemuda Umno negeri turut menunjukkan salinan kenyataan berbahasa Inggeris yang bertulis,"Zairilkj's assistants beaten up by thugs including a former Pg (Penang) Umno youth leader".
  
Norman dalam laporan polisnya turut mendakwa hampir keseluruhan cermin kereta miliknya telah dipecahkan individu tidak bertanggungjawab dipercayai perbuatan khianat petang semalam.

"Saya letak kereta di Sungai Dua pada sebelah pagi dan ambil semula (kereta) pada petang hari yang sama. Masa itu saya dapati cermin di semua tingkap dan bahagian belakang dan hadapan telah pecah. Mujur tiada barang berharga yang hilang," katanya.
  
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng mengesahkan telah menerima laporan daripada tiga individu yang mendakwa dipukul ketika berada di lokasi perhimpunan itu.
  
Pada kejadian kira-kira pukul 8.30 malam, 30 mahasiswa mengadakan himpunan menyalakan lilin di Sungai Dua sebagai simbolik mendesak agar Adam Adli yang direman lima hari dibebaskan.
     
Program itu kemudiannya diganggu sekumpulan lelaki memakai topi keledar yang datang ke lokasi itu dan cuba membangkitkan kemarahan pelajar berkenaan dengan mengutuk tindakan mereka sebelum berlaku kejadian tolak menolak antara kedua-dua belah pihak.   - Bernama

Tiada ulasan: