Isnin, 13 Mei 2013

Individu bersifat perkauman seperti Mohd Noor punca BN ditolak, kata Guan Eng

Oleh Md Izwan

Lim Guan Eng mencabar Umno dan BN untuk mengambil tindakan ke atas Mohd Noor Abdullah kerana dikatakan mencetuskan kebencian terhadap masyarakat Cina. - Gambar failKUALA LUMPUR— Lim Guan Eng mengecam keras ahli jawatankuasa rayuan disiplin Umno, Datuk Mohd Noor Abdullah kerana kenyataan berbau perkaumannya semalam, sambil menambah individu seperti ini punca Barisan Nasional (BN) ditolak oleh masyarakat Malaysia pelbagai kaum.

Setiausaha agung DAP itu juga mencabar Umno dan BN untuk mengambil tindakan ke atas Mohd Noor kerana mencetuskan kebencian, ketakutan dan menggugut masyarakat Cina supaya berhadapan tindak balas daripada masyarakat Melayu.

“Mampukah Umno membuktikan ciri-ciri 1Malaysia nya dengan bertindak terhadap Datuk Mohd Noor?

“Jika gagal berbuat demikian, Umno tidak patut menyalahkan MCA atau Gerakan kerana gagal mendapatkan sokongan bukan-Melayu tetapi mesti bertanggungjawab sepenuhnya,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Lim kemudiaan menyerang Mohd Noor kerana membuat tuduhan tanpa bukti disamping menyoalnya apakah tanggungjawabnya di dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memerangi rasuah.

“Apa yang telah Mohd Noor lakukan sebagai ahli jawatankuasa aduan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memerangi rasuah, terutamanya skandal kehilangan RM52 bilion saham Bumiputera, yang hilang sebelum sempat sampai kepada Melayu dan Bumiputera miskin?

“Kenapa Datuk Mohd Noor tidak terfikir pun tentang Melayu miskin yang terlepas saham RM52 bilion?” soal Lim lagi.

Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi, kenyataan berbentuk perkauman adalah cubaan Mohd Noor dan Umno cuba menutup masalah rasuah dan salah laku yang berlaku pada pilihan umum ke-13.

“Apabila Suruhanjaya Pilihanraya dan SPRM membenarkan siasatan politik wang dan rasuah dikompromi, jalan mudah untuk keluar ialah dengan mengeksplotasi kebencian kaum bagi menyorokkan kegagalan mereka,” katanya lagi.

Selain Lim, awal hari ini Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim juga membidas Mohd Noor dengan mengatakan kenyataan tersebut menyebabkan diktator Nazi Jerman Adolf Hitler berbangga.

“Ucapan perkauman bekas hakim mahkamah rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah memalukan Klu Klux Klan dan membuatkan Hitler berbangga,” kata Anwar merujuk kepada pemimpin Perang Dunia Kedua Jerman Adolf Hitler yang mana parti Nazinya melakukan ‘Holocaust’, pembunuhan beramai-ramai terhadap dijangkakan enam juta Yahudi Eropah.

Bekas hakim itu dilaporkan menuduh Cina merancang untuk “merampas kuasa politik” daripada Melayu, walaupun sudah mendapat manfaat dari segi ekonomi dari “setia kawan” Melayu.

BN menang tipis pada 5 Mei dengan hanya 133 kerusi Parlimen berbanding 89 kerusi oleh Pakatan Rakyat (PR), lebih rendah daripada 140 kerusi yang mereka menangi dalam Pilihan Raya 2008.

Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak mencadangkan “tsunami Cina” menyebabkan BN mendapat keputusan pilihan raya terburuk dalam sejarah.

Utusan Malaysia, akhbar dimiliki Umno, juga mencadangkan pengundi Cina cuba melakukan provokasi kaum dengan mengundi menentang BN, dengan satu tajuk muka hadapan akhbar itu berbunyi, “Apa lagi Cina Mahu?”.

Akhbar itu - dilihat bersekutu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin parti lain - secara konsisten berhujah undi menentang Umno yang mengetuai BN sama dengan undi menentang Melayu.

Ini berlaku apabila secara faktanya parti PR, PAS dan PKR sebahagian besarnya ahlinya Melayu-Muslim. DAP turut meletakkan calon Melayu dalam pilihan raya.

Tiada ulasan: