Ahad, 19 Mei 2013

Hadi : Pas perkasa bahasa Melayu

Wartawan Sinar Harian

Hadi : Pas perkasa bahasa Melayu
Abdul Hadi dan Mohamad Taufek (kiri) pada sidang media kelmarin.
 
SEREMBAN – Pas akan terus melaksanakan dasar pendidikan negara bagi mengilmukan rakyat dengan menggunakan pendekatan memperkasa bahasa Melayu, tetapi dalam masa sama menggalakkan penggunaan bahasa ibunda masing-masing.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pendidikan bahasa ibunda bagi setiap kaum tidak boleh dihapuskan kerana ia adalah realiti dan naluri semula jadi manusia.

“Bahasa ibunda tidak boleh dimatikan tetapi kita akan terus memperkasakan bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi negara yang boleh menyatukan rakyat berbilang kaum di negara ini,” katanya pada sidang media ketika hadir pada Majlis Makan Malam Sempena Hari Guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) peringkat kebangsaan di City Kingdom, di sini, malam kelmarin.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pasti, Hasan Ahmad dan Pesuruhjaya Pas negeri, Mohamad Taufek Abd Ghani.

Selain itu katanya, Pas juga menerima pembelajaran bahasa Inggeris serta bahasa-bahasa asing yang lain.

Menurutnya, sejarah menunjukkan semua tamadun tidak bergantung kepada satu bahasa sahaja tetapi berusaha mempelajari bahasa lain untuk mendapatkan ilmu.

“Bukan sahaja bahasa Inggeris, tetapi kita perlu belajar bahasa Arab, Perancis, Jepun dan lain-lain. Ketika pembinaan tamadun Islam, orang Islam digalakkan pelajari ilmu dari bahasa lain yang kemudiannya diterjemahkan dalam bahasa Arab.

“Negara Jepun sendiri bangkit dengan bahasa ibunda mereka, tetapi dalam masa sama berusaha mempelajari bahasa lain untuk mendapatkan ilmu yang diterjemahkan menerusi bahasa mereka,” katanya.

Tiada ulasan: