Isnin, 20 Mei 2013

Exco Selangor: PAS akur perkenan Sultan

Anis Nazri,


KUALA LUMPUR: PAS Selangor akan menerima apa sahaja keputusan yang diperkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung senarai exco negeri itu.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr. Abdul Rani Osman, berkata sebelum ini PAS telah mengemukakan dua set senarai exco, yang satu darinya meminta empat jawatan exco untuk perkenan Sultan.

"Jika bukan empat exco, kita senaraikan satu speaker (Dewan Undangan Negeri) dan tiga exco. Apapun, kita tunggu keputusan selepas menteri besar pulang ke tanah air, pagi Jumaat ini," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Bagaimanapun, beliau yang juga Adun Meru berkata, terpulang kepada DAP untuk membuat perbincangan semula dengan menteri besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkaitan senarai exco mereka.

"Pada mesyuarat sebelum ini, masing-masing parti komponen Pakatan Rakyat menyerahkan senarai nama bagi mengisi senarai exco itu. DAP bagi senarai dia, PKR bagi senarai dia. Terpulang kepada mereka jika mahu berbincang semula," kata beliau.

Semalam, menteri besar dalam Twitternya menegaskan agihan kerusi Exco untuk Selangor adalah PAS 4, PKR 3 dan DAP 3.

Senarai nama-nama cadangan exco juga telah dihantar kepada Tuanku DYMM Sultan Selangor pada Jumaat lepas.

Sebelum ini, DAP Selangor dikatakan akan mengadakan perbincangan semula berhubung jumlah komposisi barisan Exco Selangor yang diumumkan Abdul Khalid itu.

Perkara itu ditegaskan Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya III PAS Selangor, Khalid Abdul Samad berkata, salah satu opsyen itu menyenaraikan lima exco daripada calon Melayu dan lima daripada bukan Melayu.

Beliau turut menjelaskan opsyen menjadi pilihan baginda mungkin daripada enam calon Melayu dan empat calon bukan Melayu di mana PAS mendapat empat tempat di dalam exco Selangor.

Mengulas lanjut, Khalid yang juga ahli parlimen Shah Alam berkata, PAS juga tidak mengetahui apa yang dibincangkan di antara Sultan Selangor dan Abdul Khalid mengenai perkara tersebut.

"Itu semua keputusan yang dibuat melalui perbincangan menteri besar dengan baginda. Kita kena hormat keputusan itu, lagipun baginda ada kuasa sama ada untuk perkenan atau sebaliknya," katanya lagi.

Tiada ulasan: