Isnin, 6 Mei 2013

DAP restu Anwar kekal Ketua Pembangkang

RUZY ADILA IDRIS

Lim Kit Siang
Lim Kit Siang
 
KUALA LUMPUR - DAP akan terus memberikan sokongan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus kekal menggalas tugas sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen walaupun DAP memiliki kelebihan kerusi Dewan Rakyat.

Penasihatnya, Lim Kit Siang berkata, pada dasarnya seluruh kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) sudah menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

"...tetapi memandangkan keputusan pilihan raya tidak memihak kepada PR, maka DAP akan tetap menyokong Anwar sebagai Ketua Pembangkang.

"Sokongan ini akan berterusan bukan hanya setakat Ketua Pembangkang malah mungkin sebagai Perdana Menteri," katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP di sini, sebentar tadi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang baru melabuhkan tirai semalam, jumlah kerusi Parlimen yang berjaya diperolehi oleh PKR adalah 30, Pas (21) manakala DAP (38).

Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyifatkan berlaku 'tsunami pengundi Cina' pada pilihan raya, beliau mendakwa, kenyataan tersebut adalah tidak bertanggungjawab.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah turut mendakwa kenyataan tersebut membuktikan Najib sebenarnya menafikan hak hampir 11 juta rakyat Malaysia yang telah keluar mengundi.

"PR sendiri telah membuktikan kemenangan mereka diperoleh hasil undi masyarakat berbilang kaum.

"Kita telah menang banyak kerusi yang sebelum ini dianggap kubu kuat Barisan Nasional (BN) dan majoriti pengundi Melayu.

"Ini bukan tsunami pengundi Cina, tetapi tsunami rakyat Malaysia yang melangkaui bangsa, malah saya sendiri tidak akan menang di Gelang Patah jika tidak dapat sokongan pengundi Melayu," tegas beliau lagi.

Ujar beliau, DAP amat kesal dengan kenyataan Najib yang dianggap tidak tepat.

Semalam, Najib menyatakan berlaku tsunami pengundi Cina dalam PRU13 dan beliau melahirkan kebimbangan trend polarisasi pengundian ini boleh mencetuskan ketegangan.

Oleh itu, Najib berkata, kerajaan akan memperkenalkan 'national reconciliation' bagi mengekang fahaman keterlaluan.

Tiada ulasan: