Harakahdaily, |
Demikian kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (gambar) dalam satu kenyataan medianya hari ini.
Menurutnya, oleh kerana fitnah yang ditabur oleh para pemimpin Umno dan Barisan Nasional yang disebarkan pula oleh media arus perdana, sama ada akhbar harian, TV dan radio semakin menjadi-jadi terhadap DAP dan Pakatan Rakyat, beliau tampil untuk menjelaskan hakikat yang sebenar serta mendedahkan pembohongan Umno-BN yang amat berbahaya itu.
Katanya, DAP adalah parti politik yang sah yang menerima dan menghormati keluhuran Perlembagaan Persekutuan 1957 yang menjadi kontrak sosial untuk kita rakyat Malaysia.
Inilah pendirian DAP sejak parti ini ditubuhkan pada tahun 1966, dan sejak dahulu hingga sekarang tetap berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan.
Malah, untuk menjelaskan sekali lagi pendirian DAP, pada tahun lalu, iaitu pada 8 Januari 2012, Persidangan Kebangsaan DAP telah meluluskan DEKLARASI SHAH ALAM 2012 yang dengan terang dan jelas menghasratkan impian bangsa Malaysia yang beteraskan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam usaha untuk mengecapi impian ini, DAP antara lain telah mengulangi komitmen untuk:
1. Mempertahankan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. DAP komited untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebagai undang-undang yang paling agung negara dan meluhurkannya dalam semangat Merdeka 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963.
2. Memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra serta hak-hak kaum-kaum lain, seperti yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.
3. Memastikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta kebebasan untuk mengamalkan agama-agama lain dengan aman dan damai, seperti yang termaktub dalam Artikel 3 dan 11 Perlembagaan Persekutuan.
4. Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan seperti yang termaktub dalam Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan, serta menggalakkan penggunaan dan pengajian bahasa-bahasa ibunda lain untuk membentukkan masyarakat yang cemerlang dan berbilang bahasa.
Justeru, tegasnya, deklarasi dan pendirian serta prinsip DAP selama ini tetap kekal untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
Ia juga dengan jelas mendedahkan fitnah, pembohongan dan penipuan para pemimpin UMNO-BN serta para pecacai mereka, termasuk cybertroopers UMNO-BN, yang sering mmenyemarakkan api perkauman dengan menuduh kononnya DAP adalah anti-Melayu dan anti-Islam, tegas beliau,
"Semoga semua pengundi Malaysia, khususnya orang Melayu dan Islam, menolak fitnah dan menerima kebenaran. Mari kita ubah. Ambil yang jernih, buang yang keruh. Masanya sudah tiba untuk menerima yang benar dan menolak yang batil," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan