Selasa, 14 Mei 2013

DAP: Pakatan akan pertahankan sekolah vernakular daripada hasutan untuk dimansuh

Oleh Md Izwan

KUALA LUMPUR, — DAP berjanji Pakatan Rakyat (PR) akan mempertahankan sekolah vernakular, susulan daripada hasutan memansuhkan sistem persekolahan itu di atas alasan ia menggugat perpaduan dan punca sokongan kepada pembangkang meningkat.

Pendirian tersebut timbul selepas Tan Sri Abdul Rahman Arshad mengeluarkan kenyataan sekolah vernakular yang mengajar dalam bahasa Tamil dan Cina perlu dimansuhkan baru-baru ini.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (gambar) berkata kenyataan Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM ) tersebut adalah satu hasutan.

“Gesaan panggilan Abdul Rahman untuk menghapuskan sekolah Cina dan Tamil vernakular kepada sistem sekolah satu aliran adalah hasutan, malah MP BN Mark Koding telah disabitkan menghasut pada tahun 1982 kerana membuat cadangan yang sama di Parlimen pada tahun 1978,” kata Lim dalam satu kenyataan.

Beliau kemudiaan menegaskan Perlembagaan Persekutuan melindungi sekolah vernakular dan pendidikan dalam bahasa ibunda, memetik Perkara 152 (1) (a) dan (b) dalam undang-undang tertinggi negara.

“Atas sebab ini, DAP dan PR sudah bersedia untuk melawan undang-undang ini di mahkamah dan mendapatkan sokongan dari semua rakyat Malaysia — Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan — untuk melindungi sekolah vernakular Cina dan Tamil daripada dihapuskan oleh penyokong Umno seperti Tan Sri Abdul Rahman Arshad,” kata ahli Parlimen Bagan itu.

Ahad lepas, Abdul Rahman dilaporkan berkata sekolah vernakular merupakan batu penghalang kepada perpaduan di negara ini, serta mengatakan keputusan pilihan raya umum ke-13 menunjukkan tidak ada perpaduan di Malaysia dan jurang perkauman yang lebih besar sekarang.

Beliau berkata sekolah-sekolah vernakular di Malaysia berkembang lebih maju dan hanya 10 peratus bukan Melayu belajar di sekolah kebangsaan.

“Yang lainnya di sekolah vernakular. Jelas bahawa perkauman berkembang dengan luas, ia diteruskan dengan sekolah menengah swasta yang memfokus kepada sekolah bahasa jenis kebangsaan,” katanya pada majlis “Wacana Post Mortem PRU13:Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah” pada Ahad lepas.

Abdul Rahman menyenaraikan Indonesia, Thailand dan Filipina sebagai negara-negara jiran yang telah menerima pakai penggunaan bahasa tunggal dalam dasar pendidikan mereka untuk mengukuhkan perpaduan, lapor portal berita itu.

Tetapi beliau dilaporkan berkata pelajar masih boleh belajar bahasa-bahasa lain di sekolah.

Sekolah vernakular Cina dan Tamil hanya wujud di peringkat sekolah rendah dan merupakan sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan.

Walaupun bahasa Mandarin dan Tamil masing-masing digunakan sebagai bahasa pengantar, sukatan pelajaran yang digunakan ialah satu sistem pendidikan kebangsaan adalah sama dengan sekolah-sekolah kebangsaan menggunakan Bahasa Melayu.

Tiada sekolah Cina atau Tamil di peringkat sekolah menengah.

Tetapi terdapat 60 institusi swasta yang dikenali sebagai sekolah persendirian Cina, di mana Mandarin dan Bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantar.

Walau bagaimanapun, sekolah-sekolah ini tidak diiktiraf oleh kerajaan.

Tiada ulasan: