Isnin, 13 Mei 2013

“Cina bukan pengkhianat, Melayu bukan bodoh”

Dr Ariffin Omar



KUALA LUMPUR: UMNO didesak menerima keputusan pilihan raya dengan hati terbuka dan menghentikan sentimen perkauman kerana rakyat negara ini sudah sedar bahawa parti berasaskan kaum tidak lagi relevan.

Mengulas laporan media dan tuduhan UMNO yang seolah-olah mahu rakyat menyifatkan pengundi Cina sebagai ‘pengkhianat’, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Ariffin Omar menganggap tuduhan seperti itu amat berbahaya dan tidak bertanggungjawab.

“UMNO kena sedar, pada satu ketika, pengundi Cina pernah memberi sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN) kepimpinan Tun Dr Mahathir.

“Pada masa sama UMNO juga perlu sedar bahawa bukan pengundi Cina saja memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat, sokongan pengundi Melayu juga jelas meningkat,” ujar beliau ketika dihubungi hari ini.

Katanya, peningkatan sokongan pengundi Cina kepada PR adalah disebabkan mereka tidak boleh lagi menerima beberapa dasar UMNO yang ekstrim.

“Sokongan pengundi Cina kepada PR bukan atas sebab perkauman tetapi disebabkan mereka menolak politik perkauman yang dimainkan UMNO. UMNO kena sedar dan terima perkara itu.

“Pengundi Cina menolak BN sebab sudah tidak lagi tahan dengan gejala rasuah, peningkatan kos hidup, mainan perkauman BN, monopoli perniagaan dan kronisme. Mereka lebih tertekan sebab kebanyakan mereka tinggal di bandar,” jelas Dr Ariffin.

Justeru beliau yang juga bekas Ahli Dewan Negara mahu agar seluruh rakyat Malaysia terus bersatu dan menolak permainan politik perkauman yang berbahaya.

“Jangan tertipu dengan sentimen perkauman UMNO, pemimpin mereka ada kepentingan peribadi.

“Orang Melayu juga tidak bodoh dan UMNO tidak boleh lagi anggap mereka pelindung Melayu kerana hakikatnya, setelah sekian lama memerintah, masih ramai orang Melayu hidup miskin dan ketinggalan, apa ini?” soal beliau.-Roketkini.com

Tiada ulasan: