Rabu, 22 Mei 2013

27 NGO Desak Kerajaan Umno-BN Hentikan Penahanan Politik, Bebaskan Adam Adli


NGO serah memo KDN 02

PUTRAJAYA : Sebanyak 27 Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang terdiri daripada Pertubuhan Hak Asasi, pertubuhan pekerja dan persatuan masyarakat menggesa Kerajaan Umno-BN menghentikan penahanan rakyat yang mahu berhimpun secara aman.

Kumpulan NGO tersebut mahu hak rakyat untuk berhimpun bagi menuntut hak mereka seperti yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan dihormati oleh Kerajaan Umno-BN.

Tuntutan tersebut dinyatakan di dalam sebuah memorandum yang diserahkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini.

Tindakan susulan daripada penahanan aktivis mahasiswa Adam Adli Sabtu lalu dan pendakwaan terhadap Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad.

NGO serah memo KDN 01

Sebelum ini Ahmad Zahid juga menyatakan polis akan bertindak terhadap sesiapa sahaja yang menganjurkan himpunan yang membantah Kerajaan Umno-BN.

Aktivis Suara Rakyat Malaysia (Suaram), S. Arutchelvan kumpulan tersebut mendesak agar Adam dibebaskan serta merta dan semua tuduhan ke atas beliau digugurkan.

Katanya, penggunaan undang-undang zalim ke atas rakyat yang hanya mengamalkan hak demokrasi mereka akan memberi imej buruk kepada Polis dan negara.

“Kerajaan harus menjalankan tanggungjawab secara adil dan saksama dan pihak Polis harus dibenarkan menjalankan tanggungjawab mereka secara professional dan berlandaskan undang-undang,” kata beliau.

Memorandum itu diserahkan wakil 27 NGO itu kepada Timbalan Setiausaha Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam Kementerian Dalam Negeri, Shahril Faizalis di Bangunan KDN di sini.

Jelas Arutchelvan lagi, tindakan Polis dan Peguam Negara meminta reman selama tujuh hari ke atas Adam adalah satu tindakan yang bukan bertujuan menjalankan satu siasatan yang adil.

“Penahanan berterusan penganjur perhimpunan aman ini juga menjejaskan imej Perdana Menteri yang sebelum ini mahu melakukan transformasi politik di mana hak rakyat untuk bersuara akan dihormati.
“Kami mendesak Datuk Seri Zahid Hamidi mengambil langkah bijak untuk meredakan kemarahan rakyat dan menghentikan penindasan politik serta merta,” kata Arul.

Turut sama dalam serahan memorandum itu, Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS, Sany Hamzan dan Naib Pengerusi Amnesty International Malaysia, Faizal Mustafa.

Tiada ulasan: