Rabu, 15 Ogos 2012

S'gor akan maklum status bekalan air setiap hari

Harakahdaily,

SHAH ALAM: Jawatankuasa Pemantauan Syabas yang ditubuhkan Kerajaan Selangor akan mengeluarkan kenyataan akhbar setiap hari selepas selesai mengadakan mesyuarat harian dengan pengurusan syarikat air itu.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, langkah ini bertujuan memaklumkan perkembangan terkini tentang status pembekalan dan perkhidmatan air kepada seluruh rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Cara ini juga membuktikan Kerajaan Selangor sangat telus dalam menangani isu pembekalan air demi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan yang terbaik dan memuaskan setimpal dengan kadar tarif air yang dibayar.

"Kerajaan Selangor komited untuk mengambil alih syarikat konsesi menerusi kaedah penyusunan semula yang merupakan jalan terbaik untuk menguruskan industri perkhidmatan air di Selangor dan Lembah Klang," katanya.

Jawatankuasa itu diketuai Datuk Khusrin Munawi dan turut dianggotai Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Konsortium ABBAS dan bekas kakitangan Perbadanan Urus Air Selangor (PUAS), dan telah menjalankan pemantauan terhadap operasi SYABAS bermula 18 Julai lalu.

Sebelum ini pemantauan jawatankuasa ini mendapati Syabas 'beroperasi di bawah keupayaan'.

Tiada ulasan: