Ahad, 26 Ogos 2012

Seksyen 114A langgar hak asasi manusia – Suhakam

Harakahdaily,
 
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa kerajaan supaya mengkaji semula, meminda ataupun memansuhkan seksyen yang berkontroversi, Seksyen 114A Akta Keterangan (Pindaan) (No 2) 2012.

Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam (gambar) berkata, ini kerana ianya melanggar prinsip hak asasi manusia kepada kebebasan bersuara seperti yang termaktub dalam Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) dan Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR).

“Peruntukan yang baru diperkenalkan ini telah berkuat kuasa pada 31 Julai 2012, juga melanggar prinsip asas undang-undang bahawa seseorang itu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 11 (1) UDHR,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Berikut ialah kenyataan penuh beliau.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suruhanjaya) menggesa Kerajaan supaya mengkaji semula, meminda ataupun memansuhkan seksyen yang berkontroversi, Seksyen 114A Akta Keterangan (Pindaan) (No 2) 2012 kerana ianya melanggar prinsip hak asasi manusia kepada kebebasan bersuara seperti yang termaktub dalam Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) dan Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR). Peruntukan yang baru diperkenalkan ini telah berkuat kuasa pada 31 Julai 2012, juga melanggar prinsip asas undang-undang bahawa seseorang itu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 11 (1) UDHR.

Walaupun tanggapan fakta di bawah Seksyen 114A ini boleh dipatahkan, seseorang yang dianggap bersalah mungkin tidak mempunyai masa, sumber, dan khususnya, kepakaran teknikal berhubung dengan persekitaran internet, untuk membuktikan sebaliknya bagi mematah tanggapan tersebut. Berbeza pula dalam kes-kes jenayah, pihak pendakwaan boleh lebih bersedia untuk membuktikan kesalahan tertuduh, kerana mereka diberi kuasa untuk memaksa mana-mana saksi berpotensi (seperti pentadbir, pembekal khidmat rangkaian dan pembekal internet) untuk mengemukakan keterangan, dan mempunyai kepakaran teknikal dan sumber untuk membantu siasatan/pendakwaan. Oleh itu, walaupun boleh dikatakan bahawa Seksyen 114A tidak mengubah keseluruhan beban bukti, sepertimana dalam kes-kes jenayah ianya terletak pada pendakwaan dan dalam tindakan sivil, terletak pada plaintif, dari segi praktikal, ia mungkin mempunyai kesan dalam mengubah beban tersebut kepada yang tertuduh ataupun defendan, mengikut mana yang berkenaan, sekali gus melanggar prinsip asas undang-undang.

Sama pentingnya juga Seksyen 114A mungkin mempunyai potensi dan kesan negatif yang menghalang daripada bersuara, menyebar dan berkongsi idea, berita dan maklumat, yang mana menjadi tanda pasti persekitaran Internet, sekali gus menghad dan mempengaruhi kebebasan bersuara – satu ciri penting demokrasi yang berfungsi sepenuhnya. Ianya harus juga ditekankan bahawa hak bersuara tidak sepatutnya dihadkan oleh kaedah atau cara tidak langsung, seperti penyalahgunaan kawalan kerajaan atau swasta ke atas akhbar bercetak, frekuensi penyiaran radio, atau peralatan yang digunakan dalam penyebaran maklumat, atau dengan apa-apa cara lain yang cenderung untuk menghalang komunikasi dan peredaran idea dan pendapat.

Walaupun diperakui keperluan untuk menangani jenayah siber dan untuk mengesahkan tentangan terhadap ancaman keselamatan negara, namun sebarang kuasa atau langkah-langkah menghadkan hak mestilah mengikut norma-norma hak asasi manusia, menurut syarat-syarat ketat tertentu seperti berikut:
i. Bahawa penghadan hak individu mesti dikenakan semata-mata bagi maksud melindungi matlamat yang sah (iaitu keselamatan negara, hak atau reputasi orang lain, kesihatan awam atau moral) yang ditetapkan oleh prinsip-prinsip hak asasi manusia antarabangsa;
ii. Bahawa penghadan hak mestilah benar-benar perlu bagi melindungi matlamat yang sah;
iii. Bahawa penghadan hak mestilah berkadar dengan perlindungan matlamat yang sah. Bagaimanapun, harus diingatkan bahawa terdapat beberapa hak dan kebebasan yang tidak boleh terhad termasuk kebebasan dari penyeksaan atau lain-lain tindakan yang kejam, tidak berperikemanusiaan atau menjatuhkan maruah atau hukuman;
iv. Bahawa mesti ada perlindungan yang mencukupi supaya dapat mengelakkan sebarang penyalahgunaan kuasa.

Syarat-syarat ini adalah penting bagi membantu untuk mencari keseimbangan secara adil antara kepentingan awam – kebimbangan terhadap keselamatan negara, dan kebebasan asas seseorang individu.

Suruhanjaya ingin mengulangi pendirian bahawa walaupun ia mengakui akan pentingnya keselamatan negara untuk memastikan keamanan dan kestabilan, ia juga berpendapat bahawa Seksyen 114A Akta Keterangan mesti dikaji semula ataupun dimansuhkan demi melindungi dan menghormati kebebasan asas dan hak asasi manusia untuk bersuara dan tanggapan tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Suruhanjaya berharap untuk terlibat dengan Jabatan Peguam Negara dan pihak berkepentingan yang lain dalam mengkaji semula Akta serta dalam penggubalan mana-mana undang-undang baru untuk memastikan bahawa peruntukan yang disediakan oleh mereka adalah selaras dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia yang diterima secara universal.

Tiada ulasan: