Rabu, 15 Ogos 2012

Samy Vellu agih kontrak RM31 juta kepada kroni MIC

Oleh Mohd Martin Kahar


PETALING JAYA : KEADILAN mendedahkan, bekas Presiden MIC, Datuk Seri Samy Vellu memberikan beberapa kontrak di Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) kepada kroni MIC tanpa tender terbuka.



Menurut Setiausaha Biro Polisi dan Antarabangsanya, S Gobi Krishnan, kontrak-kontrak itu termasuklah kontrak lanskap bernilai RM31 juta yang diberikan kepada syarikat rakan baik Samy Vellu – Nova Blooms Sdn Bhd.

“Berdasarkan perjanjian, kontrak ini diberikan kepada Nova Blooms pada harga RM29 juta tetapi AIMST membuat lebihan bayaran sehingga RM31 juta hingga November 2008,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di sini hari ini.

Dedah Gobi lagi, Samy Vellu turut memberikan kontrak penyelenggaraan AIMST kepada syarikat milik rakannya, Classic Sparkle Sdn Bhd beharga RM50,000 sebulan bersamaan RM600,000 setahun.

Kata beliau, kontrak itu pada mulanya diberikan kepada IT Sisma International (M) Sdn Bhd dengan harga RM18,000 sebulan (RM225,000 setahun), tetapi Samy Vellu menamatkan kontrak itu untuk diberikan kepada syarikat rakannya.

Beliau mempersoal mengapa kontrak tersebut diberikan pada harga yang lebih tinggi sedangkan perkhidmatan yang ditawarkan adalah sama.

Selain itu, Gobi mendedahkan, Samy Vellu melantik TMI Nusantara Consultans (M) Sdn Bhd yang dimiliki rakan baiknya, Datuk Thasleem Mohamed Ibrahim untuk mengurus projek pembinaan AIMST dengan harga perkhidmatan RM35 juta ditambah dengan yuran bulanan sebanyak RM144,497.

“Samy Vellu juga pernah memberi pinjaman sebanyak RM9 juta kepada rakannya, Tan Sri Narayanan menggunakan akaun Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) dengan pembiayaan selama setahun tanpa faedah. Ia dilakukan tanpa pengetahuan dan persetujuan Lembaga Pengarah MIED,” katanya.

7 Ogos lalu, Gobi mendedahkan Samy Vellu yang kini menjadi Pengerusi MIED memberikan kontrak penyelengaraan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) bernilai RM40 juta kepada Maika Intelektual Resources Sdn Bhd iaitu syarikat milik anak lelakinya, S Vell Pari.

Sebelum ini, beliau mendedahkan, kontrak mengendalikan kafeteria di AIMST dan MIED diberi kepada Ketua Pemuda MIC Penang, J Dhinagaran tanpa tender terbuka pada 2007 hingga membolehkan beliau memperoleh keuntungan RM20 juta setahun.

Tiada ulasan: