Jumaat, 3 Ogos 2012

Rumah dimasuki perompak, Aznil syukur ibu selamat

Wartawan Sinar Harian

Aznil Nawawi
Aznil Nawawi 
 
 
KES rumah selebriti dimasuki perompak bagaikan menjadi-jadi kebelakangan ini!

Bulan lalu, pelakon dan pengacara, Sharifah Shahira kerugian RM1,500 apabila rumahnya di Taman Melawati dimasuki pencuri.

Terbaru, rumah pengacara terkenal, Aznil Nawawi pula menjadi menjadi sasaran perompak, malam Rabu lalu.

Memetik laporan sebuah akhbar, kediaman Aznil di Taman Yarl itu dimasuki perompak kira-kira jam 10 malam.

Ketika kejadian, hanya ibunya serta dua orang pembantu rumah berada di rumah berkenaan.

Penjenayah terbabit dipercayai memasuki rumah tersebut dengan cara mengumpil besi jeriji tingkap.

Menurut sumber, penjenayah melarikan barang kemas, komputer riba dan beberapa helai pakaian yang semuanya berjumlah RM40,000.

Tidak mahu peminat tertanya-tanya keadaannya dan keluarga, Aznil melalui laman Twitternya memberitahu mereka berada dalam keadaan selamat.

Biarpun tiada di tempat kejadian, Pak Nil tetap bersyukur kerana ibunya selamat.

“Memang rumah Pak Nil dimasuki pencuri Rabu malam. Alhamdulillah, tiada siapa cedera.

“Kami tiada di rumah kecuali ibu. Ibu dan pembantu rumah tak diapa-apakan,” katanya menerusi twitter.

Malah, peminat di laman tersebut juga meluahkan rasa simpati terhadap Aznil dan mendoakan semuanya selamat.

Tiada ulasan: