Selasa, 14 Ogos 2012

Ribut landa Jengka, persiapan Aidilfitri mangsa terjejas

NORHAFIZAN ZULKIFLI

Roslan menunjukkan bumbung rumahnya yang rosak.
Roslan menunjukkan bumbung rumahnya yang rosak.
 
Kedai Mohamed Ramli antara yang paling teruk terjejas.
Kedai Mohamed Ramli antara yang paling teruk terjejas.
 
 
JENGKA - Dalam tempoh tak sampai seminggu lagi umat Islam bakal menyambut Aidilfitri, 27 keluarga dan sebuah kedai makan di Jengka 12 dan Jengka 21 mendapat dugaan menjelang hari lebaran itu apabila rumah mereka rosak akibat dilanda ribut, semalam.

Lebih memilukan apabila sebahagian daripada mereka sudah berhabisan wang ringgit membuat persiapan untuk menyambut ketibaan 1 Syawal, Ahad ini.

Kejadian ini merupakan insiden paling teruk pernah berlaku sejak lebih 30 tahun lalu. Difahamkan sebanyak 16 rumah di Jengka 12 rosak dan 11 rumah kediaman di Jengka 21 turut mengalami nasib sama.

Salah seorang mangsa di Jengka 12 terpaksa berputih mata apabila mengalami kerugian hampir RM20,000 apabila keseluruhan atap tingkat atas rumahnya diterbangkan ribut.

Tidak hanya atap, malah hujan lebat malam semalam menyebabkan keseluruhan barangan tingkat atas rumah kedai tersebut dibasahi air.

Pemilik rumah terbabit, Mariam Ibrahim, 59, tidak menyangka kejadian tersebut akan menimpa dirinya lebih-lebih lagi di saat orang lain sedang sibuk melakukan persiapan Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi.

“Saya tidak sangka perkara ini akan terjadi saya. Lebih menyedihkan, saya baru sahaja pulang dari mengerjakan umrah seminggu yang lalu.

“Tidak habis lagi kepenatan pulang dari mengerjakan umrah, kini saya diduga pula dengan ujian sebegini,” katanya.

Reda dengan ketentuan Tuhan, Mariam bagaimanapun bersyukur kerana terselamat dari kejadian ribut terbabit.

“Ketika ribut itu berlaku, saya dan anak-anak berada di Temerloh kerana membeli barangan kelengkapan menyambut Aidilfitri.

“Sekitar jam 7.15 malam semalam, saya dihubungi jiran yang mengatakan atap rumah saya habis diterbangkan ribut,” katanya.

Hanya sekali tiup

Menceritakan detik ribut tersebut, seorang pemilik kedai makan yang musnah 80 peratus dalam kejadian ribut itu, Mohamed Ramli Jamil, 45, berkata, angin ribut terbabit cuma datang sekali, namun cukup untuk menerbangkan keseluruhan atap kedainya.

“Ketika kejadian, saya sedang menyiapkan moreh untuk diagihkan di masjid selepas Terawih.

“Pada asalnya, ia cumalah ribut biasa berserta hujan. Selepas hujan dan ribut tersebut berhenti dan tiba-tiba datang satu angin kuat seperti berpusing menerbangkan atap kedai saya sejauh 50 meter,” katanya.

Dia menganggarkan kerugian sekitar RM5,000 dan ketika kejadian itu juga, terdapat wayar elektrik yang putus di rumahnya.

“Bimbang terkena renjatan, saya, isteri dan anak perempuan saya berlari ke rumah jiran untuk menyelamatkan diri.

Seorang lagi penduduk yang rumahnya turut terjejas dalam kejadian terbabit, Roslan Mohd Junadin, 32, berkata, kejadian tersebut berlaku sepantas kilat ketika mereka sedang bersiap untuk berbuka.

“Ia berlaku terlalu pantas sehinggakan kami tidak sempat menyelamatkan barangan kami. Secara tiba-tiba atap rumah kami terbang lalu merosakkan segala barang yang ada,” katanya.

Selesaikan Aidilfitri

Sebaik sahaja mendengar berita berkaitan kejadian ribut terbabit, pihak Felda terus turun padang melawat mangsa kejadian.

Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Saari Din berkata, sebanyak 16 rumah yang telah dikenal pasti dan wang bantuan bencana sebanyak RM300 telah dihulurkan kepada mangsa.

“Selain menghulurkan bantuan berupa wang, kami juga telah memanggil kontraktor untuk membaiki rumah mangsa yang terlibat dengan kadar segera.

“Pada hari ini (semalam) kerja-kerja pembaikan telah bermula dan kita harap pembaikan ini dapat disiapkan segera sebelum menjelang Aidilfitri,” katanya.

Tambahnya lagi, kejadian ribut terbabit merupakan takdir yang ditentukan Ilahi, justeru tidak kira peneroka mahupun generasi kedua, bantuan tetap akan dihulurkan.

Hadir sama melawat mangsa kejadian ialah Penghulu Mukim Chenor, Khairul Amin Othman. Khairul Amin yang memberitahu, perkara ini telah dimaklumkan kepada pihak berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Pungutan Zakat bagi membantu meringankan beban mangsa bencana terbabit.

Tiada ulasan: