Isnin, 13 Ogos 2012

RCI Sabah: Lagi wayang piliharaya BN

Roketkini.com




KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tidak akan mampu untuk mengatasi masalah pendatang tanpa izin (PATI) di Sabah jika ia tidak dibenarkan mengenal pasti siapa yang terlibat dan mengapa mereka memberi kerakyatan Malaysia kepada orang asing secara haram, dan ia tiada kuasa untuk mencadangkan hukuman kepada pesalah-pesalah.

Menurut Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, ia merupakan wayang pilihan raya umum untuk mengalih perhatian daripada keyakinan yang kian merosot terhadap Barisan Nasional Sabah, ekoran rasa puas hati rakyat serta pemimpin Sabah yang ditipu oleh BN selama 25 tahun.

Katanya, adalah jelas bahawa pengumuman RCI itu adalah tindak balas kepada tindakan beberapa pemimpin BN di Sabah untuk meninggalkan parti.

Beberapa minggu yang lepas, pemimpin-pemimpin kanan Barisan Nasional Sabah yang kehilangan keyakinan atas kegagalan BN untuk menyelesaikan masalah pendatang asing negeri itu meninggalkan BN dan mengisytiharkan sokongan kepada Pakatan Rakyat.

Setajat ini, mereka adalah Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing, Ahli Parlimen Beaufort Datuk Seri Lajim Ukin dan yang terbaru Senator Datuk Maijol Mahap.

Kata Lim Guan Eng, jika Perdana Menteri Najib Razak betul-betul ikhlas untuk membebaskan Sabah daripada kebanjiran pendatang asing, RCI itu sepatutnya sudah lama ditubuhkan.

“Tanggungjawab utama untuk menyiasat sama ada pendatang asing di negeri itu telah diberi kad pengenalan atau kerakyatan secara tidak sah dan sama ada mereka telah dimasukkan ke dalam daftar pemilih.

“Kegagalan menyiasat dan mengambil tindakan ke atas mereka yang bertanggungjawab seperti RCI Sabah kepada pendatang asing ini seperti tidak bertaring dan hanya lagi satu helah untuk menipu rakyat Sabah,”katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Guan Eng, masa penubuhan RCI Sabah itu juga jelas membuktikan bahawa ia sekadar wayang untuk pilihan raya apabila secara tergesa-gesa ditubuhkan di ambang pilihan raya dan sehingga kini menjadi persoalan tentang penubuhannya.

Beliau menjelaskan mengikut unjuran, jumlah warga asing di Sabah adalah sekurang-kurangnya 27 peratus daripada populasi 3.12 juta, atau peningkatan 390% daripada 651,304 pada tahun 1970, iaitu satu peningkatan yang mendadak berbanding peningkatan 200% di Semenanjung Malaysia.

“Ia sudah menjadi masalah yang kritikal kerana bukan sahaja rakyat tempatan dicairkan, malah hak politik mereka pun sudah direbut,” ujarnya.

“Rakyat Sabah tidak akan memaafkan BN atas tindakan kejam dan khianat ini, khususnya apabila ia semakin jelas bahawa RCI yang dinanti-nantikan ini hanyalah satu wayang pilihan raya semata-mata” tambahnya – roketkini.com

Tiada ulasan: