Jumaat, 24 Ogos 2012

Rakyat Diseru Turun Menuntut “Janji Demokrasi” Pada Ambang Kemerdekaan




SHAH ALAMS: Perhimpunan ‘Janji Demokrasi’ yang bakal berlangsung pada ambang Hari Merdeka 31 Ogos di Dataran Merdeka bukan suatu demonstrasi jalanan.

Sebaliknya, ia adalah seruan kepada rakyat untuk menyertai sambutan ambang Hari Merdeka disamping mengingatkan Kerajaan Pusat untuk memenuhi janji bagi penambahbaikan sistem pilihanraya.

Ahli Jawatankuasa Kerja ‘Janji Demokrasi’, Maria Chin Abdullah berkata, rakyat Malaysia digesa supaya datang ke sambutan itu dengan pakaian kuning bagi menunjukkan solidariti dengan “Janji Demokrasi”.

“Kita hanya mahu menyertai sambutan malam kemerdekaan itu sahaja dengan membawa mesej yang ingin kita sampaikan,” katanya ketika dihubungi TVSelangor hari ini.

Katanya, gabungan  47 NGO yang menyertai “Janji Demokrasi” turut membawa mesej menuntut keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang, mendukung hal sivil, kebebasan bersuara, memansuhkan akta zalim dan kebebasan media.

“Saya menyeru semua rakyat Malaysia yang prihatin untuk turun beramai-ramai berpakaian kuning sebagai tanda sokongan,” katanya.

Maria berkata nama inisiatif “Janji Demokrasi’ ditukar daripada “Janji Bersih” kerana bertepatan dengan tema sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 iaitu ‘Janji Ditepati’.

Penukaran nama itu juga kerana “Janji Demokrasi” tidak mahu dikaitkan dengan gabungan NGO di dalam gerakan BERSIH walaupun sebahagiannya merupakan anggota gabungan gerakan itu.

Beliau turut mengulas mengenai ancaman daripada kumpulan anti-BERSIH iaitu Majlis Tindakan Peniaga-peniaga Kecil Kuala Lumpur (MTPKL) yang sebelum ini mengugut untuk bertindak agresif terhadap perhimpunan “Janji Demokrasi”.

“Jika mereka hendak berdemonstrasi, biarkan lah mereka, polis akan sentiasa memantau keadaan.
“Saya berharap polis dapat bertindak bagi mengawal keamanan untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini,” katanya lagi.

Tiada ulasan: