Jumaat, 3 Ogos 2012

Rafizi seharusnya dedahkan skandal NFC kepada SPRM, kata Najib

TERKINI

 
KUALA LUMPUR — Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak menjawab kritikan terhadap kerajaan berikutan pendakwaan terhadap Rafizi Ramli yang mendedahkan skandal Pusat Fidlot Negara (NFC), dengan mengatakan Rafizi seharusnya membuat aduan terhadap skandal tersebut kepada badan yang berkenaan dan bukannya kepada umum.

PM menyatakan, sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat kontroversi seperti Rafizi harus menyerahkan maklumat tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mereka terdedah kepada Akta Bank dan Institusi Kewangan (BAFIA).

Rafizi yang juga pengarah strategi PKR didakwa melanggar akta tersebut kerana mendedahkan dokumen bank NFCorp, firma yang menguruskan operasi NFC, yang didanai oleh kerajaan untuk menguruskan skim penternakan lembu.

"Sebab mengapa wujudnya BAFIA adalah untuk mempertahankan kredibiliti sistem kewangan kita dan semua orang yang mempunyai akaun dalam sistem kewangan mesti merasakan dilindungi dengan baik.

"Jika tidak, orang tak mahu menyimpan wang dalam sistem kewangan kita dan orang luar negeri tidak akan menyimpan dan ini bertentangan dengan kepentingan awam," kata Najib dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi Umno.

Apabila ditanya tentang apakah pendakwaan terhadap Rafizi akan merosakkan persepsi umum —keikhlasan kerajaan untuk memerangi rasuah, Najib berkata, "Itu bukan persoalannya."

Najib berkata, kerajaan mahu memastikan kredibiliti sistem kewangan negara tidak akan dikompromi demi kepentingan umum.

"Tetapi ini tidak bermakna kita akan membiarkan rasuah atau pengubahan wang haram .... kerana anda sentiasa boleh mendedahkan maklumat seperti itu kepada pihak berkenaan," tegas Najib.

Tiada ulasan: