Selasa, 14 Ogos 2012

PR, Perkasa yakin PRU selepas Tahun Baru Cina

G MANIMARAN & JAMILAH HAMZAH

Menjelang PRU 13
Menjelang PRU 13 
 
 
[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR – Pakatan Rakyat (PR) dan Perkasa yakin Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang menjadi sebutan arena politik tempatan sejak lebih setahun lalu, hanya akan diadakan selepas sambutan Tahun Baru Cina awal tahun depan.

Sambil mengakui tidak terkejut dengan kenyataan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor disiarkan oleh Sinar Harian Online petang semalam, Naib Presiden Pas Datuk Mahfuz Omar berkata, mengambil kira persekitaran semasa, ‘tingkap’ yang sesuai dan terbaik bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membubarkan Parlimen adalah awal tahun depan.

“Saya percaya Datuk Seri Najib hanya akan bubar selepas sambutan Tahun Baru Cina. Apa yang pasti, pilihan raya selepas hari raya… iaitu selepas Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Krismas dan Tahun Baru Cina, bermakna awal tahun depan,” kata beliau ketika ditemui di sini semalam.

"Saya tidak terkejut langsung dengan apa yang dikatakan oleh Tengku Adnan. Mustahil PRU13 akan diadakan September atau Oktober sebab masa tidak sesuai kerana ramai akan pergi untuk menunaikan haji... itu jelas.

"Kemudian September, Oktober dan November juga bulan peperiksaan. Kira-kira 400,000 pelajar terlibat dalam peperiksaan SPM, dan dicampur dengan ibu bapa, jumlahnya 800,000 orang, selain 10,000 guru menjadi pengawas dan penyelia peperiksaan," kata beliau.

Pembabitan ibu bapa dan guru dalam peperiksaan, katanya, sudah perlu dan pasti akan diambil kira oleh Najib. Sebahagian guru juga dilantik sebagai pekerja pilihan raya.

Parlimen September-November akan bermula 24 September manakala Bajet 2013 akan diumumkan pada 28 September.

"Oleh itu, saya yakin ia akan diadakan tahun depan. Melainkan jika BN terdesak untuk membubarkan beberapa hari selepas 1 Syawal," katanya dengan merujuk kepada perkembangan politik di Sabah akhir-akhir ini.

Tengku Adnan berkata, sekiranya PRU13 diadakan pada tempoh masa tersebut sudah pasti banyak pihak akan mendakwa kerajaan tidak peka dengan Islam.

“Saya tidak berkeyakinan pilihan raya akan diadakan pada bulan Oktober, mandat akan habis pada bulan Mac tahun depan.

“(Pun begitu) saya tidak tahu mengenai itu dan semua ini perlu ditanya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri,” kata Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno.

Dalam pada itu, pada satu sidang media di ibu negara tengah hari tadi, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, pihaknya meramalkan PRU13 akan diadakan pada Februari depan dan yakin bahawa BN memperolehi kerusi majoriti.

Ibrahim berkata, BN bakal mentadbir Kerajaan Pusat sekali lagi dengan memperolehi 136 kerusi manakala 20 kerusi lagi masih dalam keadaan samar dalam PRU13.

Menurutnya, empat negeri PR bakal mengalami perubahan terutamnya di Kedah, diramal dimenangi BN kerana majoriti rakyatnya telah berubah ke parti itu setelah beberapa kajian lisan dijalankan.

"Kita yakin BN akan menang dengan majoriti kerusi yang bakal dipegang 136 dan 20 lagi masih mempunyai harapan kearah itu.

"Kita ramal PRU13 bakal diadakan pada Februari tahun hadapan dan negeri PR akan berubah kerajaannya terutama di Kedah manakala Selangor dan Kelantan dalam keadaan 50-50 serta Pulau Pinang agak susah BN mahu rampas kembali," katanya.

Justeru itu, Ibrahim menjalankan tinjaun seluruh daerah dalam tempoh dua bulan bagi meramalkan kedudukan parti politik negara yang bakal perolehi kemenangan pada PRU kali ini.

"Kalau sebelum ini, ramai yang mengatakan BN makin lumpuh, PR semakin kuat tapi itu semua berdasarkan penggunaan media baru seperti Internet atau online.

"Tapi selepas kita buat kajian, ramai masyarakat di luar sana telah memilih BN untuk diundi pada pilihan raya kali ini," katanya lagi.

Beliau berkata, kaum India dan Cina kelas atasan akan kembali memilih BN dalam PRU kali ini.

Tiada ulasan: