Sabtu, 18 Ogos 2012

Percubaan lima lelaki rompak mesin ATM di UKM gagal

THE MALAYSIAN INSIDER

SHAH ALAM —Percubaan lima lelaki untuk merompak mesin pengeluaran wang tunai automatik (ATM) di sebuah bank di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi Rabu lepas gagal selepas perbuatan mereka disedari pengawal keselamatan di universiti itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 malam, seorang pengawal keselamatan UKM ternampak dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di depan sebuah bank dalam universiti itu, ketika membuat rondaan.

Katanya apabila pengawal menanyakan tujuan mereka berada di sana, suspek mendakwa mereka mendapat panggilan telefon mesin ATM itu mengalami kerosakan dan kedua-dua suspek terus bertindak melarikan diri apabila banyak soalan ditanya.

“Pengawal yang mengesyaki sesuatu pelik berlaku kemudian mendapati ada kesan terkopak di pintu gril bank itu dan terhidu bau hangit.

“Selepas beberapa minit kemudian, kedua-dua suspek datang kembali ke tempat sama dan seorang daripada mereka berjaya ditahan oleh pengawal itu manakala seorang lagi melarikan diri menggunakan motosikal,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Adnan berkata ketika dalam proses hendak menangkap suspek itu, tiga lelaki tiba-tiba keluar dari bilik mesin ATM bank itu dan terus melarikan diri menggunakan dua buah motosikal yang diletakkan di depan bank.

Adnan berkata setelah dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pengawal berkenaan, polis berjaya menahan seorang lagi suspek di sebuah stesen minyak di Seksyen 7 di Kajang.

Katanya kedua-dua suspek, berumur 23 dan 26 tahun, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan.

Beliau berkata polis turut menemui sebatang kuku kambing, dua pasang sarung tangan dan seunit kunci mangga hasil penangkapan itu.

Dalam satu kes lain, Adnan berkata seorang gadis tempatan berumur 22 tahun ditemui mati akibat dibunuh di sekitar sebuah apartmen di Flora Damansara awal hari ini.

Katanya polis menerima maklumat kira-kira pukul 3 pagi mengenai ada wanita menjerit meminta pertolongan di kawasan flat itu.

Bagaimanapun, katanya tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini. — Bernama

Tiada ulasan: