Jumaat, 3 Ogos 2012

Parti komponen BN disaran letak lebih ramai calon muda pada PRU-13

THE MALAYSIAN INSIDER
 
KUALA LUMPUR – Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin mencadangkan presiden parti-parti komponen BN memberi ruang kepada calon pergerakan Pemuda masing-masing untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Langkah itu dapat memantapkan serta memberi kesegaran kepada imej parti kerana orang muda mungkin mempunyai kelebihan tersendiri, katanya.

“Saya hanya dapat suarakan bagi pihak Umno dan sampaikan senarai kepada presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak), tapi rakan komponen lain saya harap presiden mereka akan senaraikan kepada pengerusi BN iaitu Perdana Menteri,” kata Ketua Pemuda Umno itu.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Anggota Majlis Tertinggi Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Pemuda MIC T. Mohan dan timbalannya V.Mugil.

Mengenai pertemuan itu, Khairy berkata ia antara lain bertujuan membincangkan mengenai persiapan PRU-13 terutamanya dalam mendapatkan sokongan masyarakat India khususnya pengundi atas pagar.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata tema Hari Kemerdekaan tahun ini iaitu “Janji Ditepati” tidak perlu dipolitikkan sehingga wujud tema berbeza oleh pembangkang.

“Saya sarankan kepada pembangkang kalau mereka ‘excited’ nak adakan tema sendiri tunggulah kalau menang pilihan raya dan jadi kerajaan,” katanya mengulas tindakan pembangkang yang bercadang menggunakan “Sebangsa, Senegara, Sejiwa” sebagai tema Hari Kemerdekaan dan mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan berasingan. – Bernama

Tiada ulasan: