Ahad, 19 Ogos 2012

Pakatan ubah dasar perumahan apabila tawan Putrajaya – Anwar

KEADILAN DAILY

SHAH ALAM : Pakatan Rakyat akan mencari jalan berdasarkan prinsip kepedulian terhadap rakyat supaya harga rumah tidak terlalu tinggi hingga sukar dimiliki.

Dalam rancangan Borak Bersama Anwar melalui Google Hangout malam tadi, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata dasar perumahan sedia ada harus diubah supaya mengutamakan rakyat, bukannya menguntungkan kroni.

“Kita akan cari jalan kerana dasar sedia ada membebankan rakyat. Perlu kepada prinsip kepedulian, jangan kebergantungan kepada tauke atau kroni (Umno).

“Ini tidak. Kalau projek terbengkalai, yang menang pemaju, pembeli sengsara – hutang kena bayar tapi rumah tak ada,” katanya menjawab soalan seorang peserta rancangan itu.



Peserta yang mengaku berpendapatan RM60,000 setahun itu, dalam soalannya turut menyatakan harga rumah (landed property) di Semenyih pun mencecah RM450,000 sebuah.

Ia, kata peserta berkenaan, menyukarkannya untuk memiliki rumah, apatah lagi dibebani kenaikan harga barangan dan peningkatan kos sara hidup.

Sejak kempen Turun Harga Kereta dilancarkan, orang ramai meminta dasar perumahan yang dianggap penting bagi mengurangkan bebanan hidup rakyat, disemak semula.

Menegaskan situasi itu tidak berlaku sebelum 1998, Anwar berkata, seseorang siswazah mampu membeli kereta selepas setahun dua bekerja dan memiliki rumah selepas lima hingga 10 tahun kemudian.

“Akan tetapi, pada masa sekarang – dalam tempoh yang sama, kemungkinan miliki rumah mustahil sama sekali. Dasar ini kena berubah,” katanya.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada kerajaan Selangor dan Pulau Pinang yang menyediakan peruntukan bagi memulihkan projek terbengkalai walaupun ia tanggungjawab kerajaan Persekutuan.

“Ini bukan kerja kerajaan negeri. Patutnya, cuma sediakan tanah dan kelulusan cepat tapi kerana gagalnya kerajaan Persekutuan, terpaksa kerajaan negeri bertindak sendiri,” katanya.

Ketua Pembangkang itu kesal kerana kerajaan Umno mudah menjual tanah kepada kroni untuk melaksanakan projek kos tinggi tetapi tidak membantu rakyat kebanyakan.

“Buat projek mahal, besar-besar. Mengapa tak beri peruntukan kepada bekas tentera sekitar Kuala Lumpur?

“Mengapa tanah di Sentul yang diswasta kepada YTL (Corporation Berhad) tak diperuntuk kepada penghuni yang duduk sejak puluhan tahun. Dasar ini harus berubah,” katanya.

Tiada ulasan: