Selasa, 21 Ogos 2012

Nik Abduh: 'Jika Karpal tentang, apa beza dengan Tun'

MOHD ZAILANI ABD RAHMAN

Nik Abduh Nik Abdul Aziz
Nik Abduh Nik Abdul Aziz
 
KOTA BAHRU- Tindakan DAP yang berterusan menolak pelaksanaan hukuman hudud bukanlah suatu yang di luar jangkaan Pas, kata Timbalan Ketua Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Sebaliknya beliau berkata, hubungan Pas dengan DAP di dalam Pakatan Rakyat banyak membantu parti itu meyakinkan masyarakat bukan Islam dengan kebenaran dan keadilan hukum Islam.

“Jika secara rasminya mereka masih menolak, tetapi ramai di antara mereka (bukan Islam) yang mula menerima dan tidak menentang perlaksanaannya ke atas masyarakat Islam,” katanya ketika menulis dalam blog http://nikabduh.com.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kecaman dari Pengerusi DAP, Karpal Singh yang berterusan mengkritik tindakan Pas yang mahu  melaksanakan hukum hudud.

Nik Abduh yang juga anak kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, penyebab utama lambatnya penerimaan masyarakat terhadap hukum hudud adalah Umno.

“Daripada kata-kata buruk terhadap hukum-hukum Islam oleh para pemimpinnya sehinggalah amaran bertulis oleh Tun Dr Mahathir kepada kerajaan negeri Kelantan suatu ketika dulu, semua itu memberi kesan negatif yang menakutkan masyarakat untuk menerima hukum dan syariat Islam secara menyeluruh.

“Justeru hujah-hujah yang dihulurkan kepada Karpal, itulah yang dihulurkan buat Tun Mahathir. Jika Karpal  terus menentang, apa bezanya dengan Tun? Bahkan apa bezanya dengan Umno? 

Bahkan lagi, selama mana DAP menentang hudud, udara keruh berjerebu itu akan dihirup oleh Umno,” katanya.

Justeru, katanya, Pas akan terus menyeru kepada pelaksanaan syariat Islam yang menyeluruh dengan memberi keadilan, kesaksamaan dan keharmonian yang diimpikan oleh rakyat seluruh negara.

Malah katanya, sokongan kepada perlaksanaan hukum hudud dan syariat Islam semakin bertambah, malah masyarakat bukan Islam Islam semakin terbuka untuk bertanya dan berbicara mengenai Islam dan kesaksamaan.

Tiada ulasan: