Isnin, 20 Ogos 2012

Nasha akan lawan Karpal di mahkamah


KUALA LUMPUR —  Bekas timbalan presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa bertegas dengan kenyataannya bahawa Karpal Singh anti Islam dan bersedia untuk berhadapan dengan pengerusi DAP itu di mahkamah untuk menyelesaikan pertikaian antara  mereka berdua.

Ini bakal menjadi ujian getir kepada hubungan diantara PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) menjelang pilihan raya umum (PRU) yang semakin hampir.

Karpal juga seorang peguam veteran berkata kepada The Malaysian Insider semalam beliau akan mengemukakan saman malu kepada Nasharuddin yang mengeluarkan kenyataan menyatakan beliau menghina Islam sedangkan beliau sentiasa menghormati Islam sebagai agama persekutuan.

"Saya kekal dengan pendirian saya bahawa Karpal Singh adalah anti Islam dan bersedia untuk bertemu beliau di Mahkamah," kata Nasharuddin (gambar) melalui kiriman SMS kepada The Malaysian Insider sebentar tadi.

Menurut bekas timbalan presiden PAS itu, menolak hukum Islam bermakna seseorang itu anti kepada Islam.

"Saya di didik di dalam PAS bahawa ajaran Islam itu adalah syumul merangkumi setiap aspek kehidupan.

"Didalam nya ada aqidah, perundangan dan dan akhlak. Menolak sebahagian dari Islam bermakna menolak Islam," katanya lagi.

Karpal telah berulang kali mengatakan hukum Hudud tidak boleh dilaksanakan di Malaysia kerana perlembagaan negara ini mengatakan Malaysia adalah negara sekular.

Karpal juga mengatakan Nasharuddin perlu faham perbezaan diantara Islam sebagai agama dan negara Islam.

"Perlembagaan negara menjamin Malaysia sebagai negara sekular dan di Malaysia undang-undang sekular digunakan.

"Sebelum undang-undang Hudud dilaksanakan, negara Islam perlu ditubuhkan," Karpal pernah berkata.
Sebelum pilihan raya 2004, gabungan PAS dan DAP serta Parti Keadilan Nasional (kini PKR) dalam Barisan Alternatif (BA) berpecah oleh kerana presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengeluarkan dokumen negara Islam yang menyebabkan DAP keluar dari BA.

PR ditubuhkan selepas gabungan PKR, DAP dan PAS berjaya menafikan majoriti tradisi dua pertiga BN di parlimen serta merampas empat buah negeri dalam PRU 2008.

Tiada ulasan: