Khamis, 9 Ogos 2012

Mengapa kos pengurusan Unisel naik mendadak?

Dr Khir Toyo bertanya ke manakah perginya wang yang dibayar oleh pelajar selama ini.




PETALING JAYA:  Bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo mempersoalkan mengapa kos pengurusan Universiti Selangor (Unisel) meningkat mendadak dari RM93.97 juta pada 2008 kepada RM113.11 juta pada 2010.

“Pelajar meningkat, pendapatan berkurangan, kos pengurusan meningkat! Apa sebenarnya yang berlaku kepada Unisel di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat?” kata beliau.

Beliau tegas mempertahankan konsep Build–operate–transfer (BOT) yang dibuat Unisel.

Dr Mohd Khir mendakwa tindakan Menteri Besar sekarang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyalahkan BOT hanya satu lagi jalan “mengkambinghitamkan” orang lain untuk mengelakkan masalah sendiri.

Satu inisiatif

“BOT merupakan satu inisiatif bagi membolehkan Unisel berkembang dengan lebih pantas tanpa menunggu mempunyai wang sendiri untuk membina asrama dan infrastruktur kemudahan pelajar.

“Dalam konsep BOT, pada akhir konsesi, bangunan dan infra yang dibina menjadi milik Unisel sepenuhnya.

“Konsep ini diluluskan setelah pelbagai pihak termasuk bank yang memberi pinjaman kepada projek ini mempunyai keyakinan ia berdaya maju. Ini termasuk keupayaan asrama untuk menghuni jumlah tertentu pelajar untuk membolehkan ia menampung kos pembinaan bangunan,” kata beliau.

Dr Mohd Khir berkata, jika Unisel gagal menjelaskan hutang kepada konsesi maka jelas sekali mereka gagal menguruskan perkembangan Unisel.

Lebih aneh, yuran penginapan pelajar dikutip tanpa sesen pun dikurangkan tetapi pihak yang menguruskan asrama tidak pula mendapat bayaran, katanya.

Beliau bertanya,”Ke manakah perginya wang yang dibayar oleh pelajar selama ini”?

Tiada ulasan: