Sabtu, 4 Ogos 2012

LGE Kesal Sikap Bermuka-muka Kerajaan Pusat Dalam Isu Penswastaan Pelabuhan





SHAH ALAM  : Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyelar sikap bermuka-muka Kerajaan Pusat dalam isu penswastaan pelabuhan di negeri itu.

Kerajaan Pusat yang sebelum ini lantang membantah penswastaan berkenaan bagaimanapun ‘kantoi’ apabila menghadiahkan Seaport Terminal (Johor) Sdn Bhd (Seaport).

Kebenaran untuk mengambil-alih pengurusan pelabuhan tersebut selewat-lewatnya Disember tahun ini.

“Lebih malang, penganugerahan ini dilakukan tanpa sebarang pendedahan maklumat yang berkaitan selain tiada jaminan kepada penduduk Pulau Pinang bahawa ia amalan telus.

“Persoalannya juga, mengapa Kerajaan Pusat membantah sebelum ini tetapi akhirnya menswastakan pelabuhan itu.

“Ternyata mereka bermuka-muka,” tegas Guan Eng dalam satu kenyataan media.

Tambahnya lagi, rakyat Pulau Pinang berhak untuk mengetahui terma-terma perjanjian kerana ia melibatkan kepentingan awam.

“Sehingga kini, Pengarah Seaport, Datuk Mohd Sidik Shaik Osman enggan menyatakan jumlah suntikan modal oleh Seaport ke Pelabuhan Pulau Pinang.

“Namun berdasarkan kenyataan kabur beliau sebelum ini, suntikan modal dijangka mencapai RM 1 billion menjelang 2017 dan mencapai RM 4.7 billion menjelang 2022,” jelas Guan Eng.

Dalam satu laporan media semalam, Pengarah Seaport, Datuk Mohd Sidik Shaik Osman mengesahkan Seaport menerima surat lantikan dan akan bertanggungjawab mengurus Pelabuhan Pulau Pinang akhir tahun ini.

Sementara itu, Presiden Transparency Antarabangsa, Datuk Paul Low dalam satu kenyataan hari ini turut mempertikaikan keputusan penswastaan ini yang dilakukan tanpa tender terbuka.

“Bukankah ini melanggar prinsip amalan tadbir urus baik dan ketelusan yang diuar-uarkan Kerajaan Pusat selama ini,” ujarnya.

Beliau juga menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan Dewan Pulau Pinang Cina bahawa pelupusan Pelabuhan Pulau Pinang itu melanggar Akta Anti-Pertandingan.

Tiada ulasan: