Rabu, 1 Ogos 2012

Kualiti udara semakin buruk

 
Kadar pencemaran udara di seluruh negara dijangka meningkat. 




PETALING JAYA: Indeks Pencemaran Udara (IPU) di bandar-bandar utama seluruh negara menunjukkan kualiti udara yang sederhana tetapi dijangka akan meningkat di beberapa tempat dalam masa yang terdekat.

Indeks yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) setakat 11 pagi ini, menunjukkan bacaan yang tinggi di kawasan Lembah Kelang. Bacaan di Pelabuhan Klang bertambah baik daripada 116 semalam ke 101 hari ini, namun masih dalam keadaan tidak sihat.

Shah Alam (81), Banting (79), Kuala Selangor (99), Petaling Jaya (87) dan Shah Alam (81) pula mencatatkan peningkatan IPU berbanding semalam, namun masih dalam keadaan sederhana.

Bacaan IPU di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga turut mencatatkan peningkatan di beberapa tempat, antaranya Batu Muda (67) dan Cheras (76). Putrajaya pula mencatatkan 71.

Terdapat 12 tempat yang mencatatkan IPU sihat di iaitu di Sandakan (46), Kota Kinabalu (48), Keningau (37), Labuan (49), Limbang (43), Tawau (45), Miri (50), Sibu (50), Sri Aman (43), Larkin Lama (47), Kangar (35) dan Langkawi (33).

Di kawasan Pantai Timur pula mencatatkan bacaan IPU yang sederhana, Kuantan (63), Kuala Terengganu (73), dan Kota Bharu (66).

Di tempat-tempat lain, Ipoh (69), Seremban (69), dan Melaka (58). Secara keseluruhannya, udara di 73 peratus kawasan dalam keadaan sederhana, 23 peratus baik dan sebanyak 4 peratus kawasan di seluruh Malaysia mencatatkan bacaan IPU yang tidak sihat.

Jabatan Alam Sekitar dalam kenyataannya menjelaskan bahawa jerebu rentas sempadan dan kualiti udara yang semakin teruk, terutamanya di Lembah Kelang adalah berpunca daripada angin monsun barat daya yang bertiup daripada titik panas di Sumatra.

“Kami akan terus memantau kadar bacaan IPU dari semasa ke semasa di seluruh negara dan telah mengaktifkan Pelan Tindakan Jerebu Nasional dan Pelan Tindakan  Mencegah Pembakaran Terbuka,” katanya.

Larangan pembakaran di tempat terbuka masih berkuatkuasa.

Tiada ulasan: