Timbalan Ketua Pengarah JPJ Datuk Ismail Ahmad berkata pihaknya mengeluarkan saman kepada pemandu bas terbabit, sama ada melibatkan kesalahan teknikal mahupun kesalahan pemandu sendiri.
Selain itu, langkah penyamaran yang dilaksana JPJ ternyata berkesan dalam mendisiplinkan pemandu bas ekspres, apabila mereka dilihat lebih berhati-hati ketika memandu, katanya kepada pemberita selepas operasi khas di Jalan Seremban-Kuala Pilah, di sini malam tadi.
Katanya pegawai JPJ yang menyamar sebagai penumpang akan mengeluarkan saman kepada pemandu bas ekspres yang melakukan kesalahan, sebaik sahaja bas tiba di destinasi.
"Selain itu, pegawai kita juga membuat pemeriksaan terhadap keadaan bas seperti brek, tayar dan sebagainya di depoh dan terminal bas.
Selepas membuat pemeriksaan, pegawai kita akan mengeluarkan sijil pengesahan yang menyatakan bas berkenaan layak atau tidak untuk membuat perjalanan jauh dan jika layak barulah kita benarkan bas keluar daripada depoh untuk meneruskan perjalanan," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata operasi JPJ kali ini akan bertumpu kepada penunggang dan pembonceng motosikal memandangkan kenderaan jenis itu penyumbang terbesar kemalangan maut.
Sebahagian besar kemalangan motosikal ini pula membabitkan golongan remaja dan ramai daripada mereka tidak mematuhi peraturan jalan raya termasuk tidak ada lesen memandu, tidak ada cukai jalan selain mengubah suai kenderaan, katanya.
Pada operasi malam tadi, sebanyak 52 saman dikeluarkan kepada pemilik kereta dan 112 kepada pemilik motosikal yang didapati tidak mematuhi undang-undang jalan raya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan