Sabtu, 4 Ogos 2012

Jadi kempen politik BN, k’jaan didesak tukar lagu tema Merdeka

Oleh Aliff Fikri


KUALA LUMPUR: Pertama kali dalam sejarah negara, lagu tema Hari Kebangsaan dijadikan kempen untuk menyampaikan agenda parti politik.



Mengecam tindakan itu, Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mendesak kerajaan Umno Barisan Nasional menarik balik lagu tema ‘Janji Ditepati’ yang disalahguna sebagai medium untuk kempen politik mereka.

“Tidak pernah berlaku dalam mana-mana lagu patriotik khususnya untuk sambutan Hari Kebangsaan, gubahan liriknya secara langsung mengaitkan dasar ‘one-off’ kerajaan seperti yang dilakukan sekarang dengan menyebut perihal BR1M, KR1M dan Klinik 1Malaysia.

“AMK mendesak kerajaan tanpa sebarang kompromi menalik balik lagu tema tersebut dan memanggil karyawan muzik negara untuk kembali mengubah lagu baru yang lebih menepati jiwa dan semangat kemerdekaan tulen,” kata Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Kerajaan kata Shamsul, harus berhenti mempropagandakan segala perkara di bawah kawalan mereka kerana selagi tabiat jelek ini diteruskan, rakyat akan menolaknya tanpa kompromi.

“Ini menunjukkan sindrom ‘hilang idea’ sehingga terpaksa mencedok isu-isu yang tidak berkait dengan Hari Kebangsaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menempelak Umno BN kerana meniru melodinya dari Indonesia.

“Pendedahan terbaru di ruang maya yang menyaksikan wujudnya persamaan melodi lagu tersebut dengan lagu sambutan keagamaan gereja di Indonesia, maka ini memperkuatkan lagi dakwaan bahawa kerajaan bukan sekadar semberono mempropagandakan lagu tema tetapi turut menciplak karya orang lain,” kata Shamsul.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim turut dibidas kerana mengenepikan karyawan dengan membuat keputusan sendiri berhubung Hari Kebangsaan tahun ini.

“Jika diteliti, saban tahun terdahulu, kelompok karyawan diraikan melalui pertandingan mencipta logo ataupun lagu tema bagi sambutan Hari Kebangsaan. Tetapi Rais Yatim terbukti tidak meletakkan dirinya di era moden ini dengan membuat keputusan sehala tanpa mengambil kira pandangan khalayak,” tegas beliau.

Inisiatif kerajaan tahun ini melalui Kementerian Penerangan bagi meraikan Hari Kebangsaan mencetuskan kontroversi dan mendapat kecaman pelbagai pihak kerana menjadikannya agenda politik parti pemerintah.

Dalam perkembangan berkaitan, Rais mengumumkan penubuhan panel siasatan bagi menyiasat lagu kemerdekaan yang didakwa menciplak lagu gereja Indonesia.

Tiada ulasan: