Rabu, 15 Ogos 2012

Isu Taman Manggis: Dokumen BN tak sah, kata Guan Eng

SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
 
 
GEORGETOWN - Ketua Menteri, Lim Guan Eng mendakwa semua dokumen yang dimiliki Barisan Nasional (BN) berkaitan tanah di Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin di sini adalah tidak sah.

Menurutnya, semua dokumen yang ditunjukkan wakil BN sebelum ini tidak sah kerana tidak mempunyai pengesahan daripada mana-mana pihak berbanding yang dimiliki Kerajaan Negeri.

“Semua dokumen yang mereka tunjukkan itu tidak betul. Dokumen itu tiada pengesahan. Apa yang mereka katakan itu tidak benar.

“Tanah itu tidak ada sebarang peruntukan untuk perumahan mampu milik. Sebab itu kita tukarkan kepada projek hospital.

"Saya sudah umum, kita akan bina perumahan mampu milik itu di tanah yang lebih besar, tetapi mereka (BN) masih nak bangkitkan isu ini. Saya pun tidak faham mengapa,” katanya kepada media kelmarin.

Guan Eng berkata, BN masih tidak berpuas hati walaupun Kerajaan Negeri mengumumkan bahawa projek perumahan itu akan dipindahkan ke Jalan SP Chelliah di sini.

“Tanah ini kecil iaitu hanya 0.44 hektar (1.1 ekar) dan tidak mencukupi untuk membangunkan perumahan kos rendah.

"Oleh itu, kita menggantikannya di sebuah kawasan yang lebih luas iaitu di Jalan SP Chelliah yang mempunyai keluasan 2.83 hektar atau kira-kira tujuh ekar.

“Tanah yang kecil itu, sememangnya kita akan dirikan hospital swasta yang menyumbang pendapatan negeri dengan pelancongan perubatan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Penerangan Pemuda BN Pulau Pinang, H’ng Khoon Leng mendakwa mempunyai beberapa dokumen berhubung tanah di Taman Manggis itu dan akan mendedahkan kepada umum bila tiba masanya nanti.

Konflik tanah di Taman Manggis bermula apabila BN mendakwa Kerajaan Negeri menjual tanah yang sudah dirizabkan untuk perumahan mampu milik kepada swasta bagi membina sebuah hospital 30 tingkat.

Kerajaan Negeri kemudian membidas dengan mengatakan pelan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) fasa kedua di Taman Manggis itu tidak pernah diluluskan dalam Rancangan Malaysia (RMK) 8 dan 9 sebelum ini.

Tiada ulasan: