Selasa, 14 Ogos 2012

Hujan lebat, ribut Felda Kota Tinggi rosakkan 100 rumah

MASTURAH SURADI

rumah rosak
Jahrah, 58 bersama cucunya, Mohd Noramal Norhisham,5 menunjukkan keadaan rumahnya yang rosak teruk akibat ribut petang kelmarin.
 
 
KOTA TINGGI - Hujan lebat dan ribut yang melanda dua Felda di sini sekitar jam 4 petang kelmarin menyebabkan hampir 100 rumah penduduk rosak biarpun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Dalam kejadian itu, 60 rumah terjejas termasuk lima rumah di Felda Penggeli Timur mengalami kerosakan teruk selain turut melibatkan masjid, pejabat Felda, kedai dan sekolah agama.

Manakala di Felda Sungai Sibol, sebanyak 36 rumah terjejas termasuk lima rumah rosak teruk.

Turut terjejas sekolah kebangsaan, taman didikan kanak-kanak (tadika) dan balai raya.

Pokok tumbang timpa rumah

Dalam kejadian di Felda Sungai Sibol, seorang penduduk cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi sebagai pesakit luar.

Penduduk, Jahrah Sujak, 58, berkata, rumahnya mengalami kerosakan teruk terutama di bahagian dapur, bilik air dan garaj akibat dihempap tiga pokok dalam kejadian itu.

Menurutnya, ketika kejadian, dia bersama anak bongsunya Noratiqah Aisyah, 22, dan suami Suliman Kasim, 61, berada di dapur untuk menyiapkan juadah berbuka.

“Ketika itu hujan sangat lebat berserta kilat dan guruh, tiba-tiba saya terdengar bunyi pokok seperti hendak tumbang di luar. Saya yang merasa tidak sedap hati segera mengajak suami dan anak ke hadapan.

“Kemudian tidak sampai dua minit kami meninggalkan kawasan dapur, kedengaran bunyi yang kuat menghempap bumbung bahagian belakang rumah dan dapur kami.

“Syukurlah Tuhan menggerakkan hati saya dan kami sempat beralih dari dapur, jika tidak, tak tahu apa yang bakal berlaku,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Felda Penggeli Timur, semalam.

Katanya, juadah berbuka yang telah siap dimasak juga musnah manakala suaminya yang mempunyai penyakit darah tinggi turut demam kerana terkejut dengan kejadian yang berlaku.

Seperti hujan batu

Bagi Kassim Mat, 70, kejadian itu adalah yang pertama berlaku di kampung tersebut sepanjang 35 tahun dia menetap di Felda Penggeli Timur.

“Sebelum ini tidak pernah pula berlaku ribut sehingga menjejaskan rumah penduduk. Malah hujan lebat yang turun juga seperti hujan batu.

“Akibat hujan itu, rumah saya juga banjir dinaiki air,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Felda Penggeli Timur, Mohd Maharol Adimi berkata, diharapkan penduduk terlibat dapat bersabar untuk menerima bantuan yang akan diberikan.

Bagi Ketua Kampung Felda Sungai Sibol, Hakim Abd Rahman berkata, pihaknya telah memulakan kerja-kerja penilaian dan bantuan segera kepada penduduk terlibat akan disalurkan secepat mungkin.

Tiada ulasan: