Pengerusi MCA Kedah Datuk Chong Itt Chew meminta sebuah akhbar berbahasa Melayu memohon maaf berikutan laporan akhbar itu yang bertajuk 'MCA Kedah Sokong Hudud' semalam.

Beliau kecewa dengan tindakan akhbar itu yang memetiknya sebagai berkata MCA Kedah bersetuju dengan undang-undang Islam itu sedangkan beliau tidak ditanya tentang hukum hudud semasa temu bual melalui telefon dibuat dua hari lepas.

"Saya sangat kecewa kerana lain yang ditanya dan lain pula yang ditulis. Semasa temu bual itu berlangsung, saya tidak dengar pun wartawan itu menyebut perkataan hudud tetapi apabila berita keluar, ia berkaitan dengan hudud," katanya kepada pemberita di Alor Setar hari ini.

Beliau berkata beliau akan menghantar surat dalam masa terdekat kepada akhbar itu sebagai peringatan supaya semua wartawan berpegang kepada prinsip profesionalisme dalam menyampaikan maklumat kepada orang ramai.

"Saya tidak akan mengambil apa-apa tindakan undang-undang kepada wartawan dan akhbar itu sebaliknya saya mohon supaya mereka memohon maaf dengan laporan berita itu," katanya. - Bernama