Khamis, 2 Ogos 2012

Himpunan bantah guna kimia berbahaya 2 Sept

Anis Nazri,
 
KUALA LUMPUR: Satu himpunan besar-besaran membantah penggunaan bahan kimia berbahaya akan diadakan pada 2 September jam 2 petang, di Dataran Raub, Pahang.

Himpunan yang dinamakan Himpunan Hijau Raub itu diadakan bagi menuntut kehidupan yang lebih sihat dengan menghentikan proses perlombongan emas yang menggunakan cyanide.

Himpunan yang mensasarkan 20,000 penyertaan dari seluruh negara itu akan dimobilisasikan Himpunan Hijau bersama NGO-NGO lain, beserta Pakatan Rakyat.

Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat, Zulkefly Mohamad Omar, berkata PAS akan mengerahkan ahli-ahlinya untuk menyertai himpunan ini, khususnya di Pahang.

Beliau berkata, PAS sememangnya menyokong sebarang tuntutan rakyat, lebih-lebih lagi hak rakyat untuk mendapatkan kesihatan yang baik.

"Terlalu banyak isu alam sekitar berlaku di Pahang.  Di Kuantan dengan isu Lynas, begitu juga di Cameron Highland. Isu ini bukan isu Pahang tetapi seluruh negara.  Jika kita tidak bersatu, ia akan membawa kehancuran kepada seluruh negara," tegas beliau pada sidang media yang diadakan di Dewan Himpunan Cina, petang tadi.

Beliau berkata, rakyat tidak menolak sebarang pembangunan yang dibuat kerajaan, namun menginginkan pembangunan yang memikirkan aspek kesihatan dan kesejahteraan semua pihak.

Turut serta pada sidang media itu Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Dr. Hamzah Jaaffar; Timbalan Yang Dipertua PAS Raub, Tengku Shahadan Tengku Jaafar; ahli parlimen Cheras, Tan Kok Wai; dan exco kerajaan negeri Selangor, Ronnie Liu.

Lombong emas Raub Australian Gold Mine (RAGM) yang beroperasi sejak Februari 2009 dikatakan memberi kesan ke atas lebih 300 penduduk berdekatan, khususnya Kampung Bukit Koman, Raub yang mengadu mengalami masalah kegatalan kulit, kesukaran bernafas dan pelbgai kesan lain ekoran penggunaan cyanide.

Tiada ulasan: