Harakahdaily, |
(MB Selangor menyampai sumbangan kepada anak yatim sambil mendukung cucunya di majlis berbuka puasa)
SUBANG JAYA: Kerajaan negeri Selangor dijangka akan mengumumkan hasil audit pendemokrasian daftar pemilih di negeri itu dua minggu lagi.
Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, sehingga kini lebih 78 peratus telah selesai diaudit dari 490,000 pengundi baru dan pengundi yang baru dimasukkan ke negeri itu.
"Dah 28 DUN yang selesai 100 peratus," kata Khalid ketika berucap di majlis berbuka puasa anjuran pejabat beliau di sebuah hotel malam tadi.
Selain para tetamu jemputan dan media, turut serta di majlis itu adalah anak-anak yatim dari sebuah rumah kebajikan dekat sini.
Dalam operasi itu, Selangor telah menggunakan geran Selangorku untuk membiayai proses pengauditan senarai pemilih di negeri Selangor yang bertambah dengan ketara menjelang pilihan raya umum akan datang ini.
Jentera kerajaan negeri termasuk ahli majlis kerajaan tempatan, ketua kampung dan ahli jawatankuasa kemajuan kampung digunakan untuk membuat kerja-kerja ini.
"Selepas dapat hasil kita akan buat perbincangan dan tentukan keputusannya," kata Khalid kepada media selepas majlis itu.
Khalid tidak menolak tindakan mahkamah jika ternyata daftar pemilih itu tidak bersih selepas mendapat bukti-bukti dari kajian itu.
Talam
Dalam sidang media yang sama Khalid memberitahu, lebih 10 juruodit dari firma audit yang dilantik kerajaan negeri sedang memeriksa perjanjian antara kerajaan negeri dengan Talam Coorporation.
Sehingga proses audit ini selesai, beliau tidak akan memberikan sebarang ulasan terhadap tuduhan mana-mana pihak.
"Tidak lama dah, ia akan selesai. Jadi saya rasa tidak payah bertengkar atau berkempen lah, kita tunggu hasil laporan audit ini," kata Khalid dalam ucapannya itu.
Beliau mengulas serangan-serangan yang disifatkan sebagai kebanyakannya fitnah terhadap pendekatan kerajaan negeri Selangor dalam menyelesaikan isu hutang Talam kepadanya.
Beliau mengambil positif terhadap semua serangan itu kerana, "Sekarang baru orang tahu cara nak kutip hutang," kata beliau sinis.
Talam, pemaju hartanah yang bermasalah, berhutang kepada kerajaan dan anak-anak syarikat kerajaan negeri Selangor sejak sekian lama.
Namun, tiada sebarang usaha yang konkrit dibuat untuk mengutip segala hutang itu.
Apabila Pakatan mengambil alih kerajaan negeri dan beliau menjadi Menteri Besar, Khalid berjaya mengutip hutang syarikat itu dengan mengambil alih hartanah yang dimilikinya.
"Selepas kita dapat kutip hutang, ramai yang mengulas pula," katanya.
Menurut Khalid, standard pengurusan telus ini akan diteruskan dan bakal menjadi nafas baru kepada pentadbiran yang terbuka.
"Ia dapat dinilai melalui keupayaan dan keikhlasan kita dalam membuat kerja," kata Khalid.
Namun, beliau berkata, banyak yang perlu diperbaiki lagi oleh pejawat awam dalam memberikan khidmat kepada rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan