Jumaat, 17 Ogos 2012

Ambiga tuntut penjelasan arahan bercanggah semasa perhimpunan Bersih

TERKINI
 
 
KUALA LUMPUR – Pengerusi bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk Ambiga Sreenevasan (gambar) meminta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mendesak ketua polis negara (KPN) dan menteri dalam negeri untuk menjelaskan mengapa terdapat dua set arahan yang berbeza diberikan kepada polis sehingga menyebabkan huru-hara semasa menyuraikan perhimpunan gabungan tersebut pada 28 April 2012 bagi menuntut pilihan raya bebas dan adil.

- Gambar fail
“Kelihatan seperti ada dua set arahan diberikan kepada polis,” kata Ambiga dengan menambah bahawa arahan asal adalah untuk melayan peserta perhimpunan dengan baik.
 “Terdapat set arahan kedua untuk menembak gas pemedih mata. Ia menyebabkan peserta perhimpunan tersebut dalam ketakutan. Kami tidak faham mengapa ini berlaku.”

Ambiga berkata demikian kepada pemberita ketika membentangkan memorandum Bersih dan laporan kepada Suhakam yang dipengerusikan oleh Naib Pengerusinya, Datuk Dr Lake Tee Khaw, yang sedang menyiasat tuduhan bahawa polis menggunakan kekerasan yang tidak wajar untuk menyuraikan perhimpunan tersebut.

Ambiga berkata Bersih ingin tahu siapa yang memberi arahan kepada polis dan apa perintah yang telah diberikan.

Beliau menekankan bahawa panel Suhakam perlu memanggil KPN dan menteri dalam negeri menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) untuk mendapatkan gambaran lengkap.

“Saya pasti mereka akan bersedia untuk datang,” kata peguam-aktivis terkemuka itu.

Beliau berkata bahawa panel Suhakam mempunyai kuasa untuk mendesak saksi-saksi bagi memberi keterangan.

Semalam Khaw memberitahu pemberita bahawa Suhakam telah menghantar surat kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), meminta pegawai bertugas pada 28 April untuk tampil ke hadapan untuk memberikan penjelasan mengenai perhimpunan Bersih kepada panel.

Panel juga akan melihat kepada dakwaan dari Persatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) bahawa sebelum perhimpunan tersebut, terdapat satu taklimat yang diberikan kepada pengamal media oleh pihak polis.

Beliau juga berkata panel itu akan mendengar dari penganjur Bersih dan melawat ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melihat dengan lebih dekat benteng kawat berduri yang didakwa digunakan semasa perhimpunan tersebut.

Siasatan inkuiri bersambung pada 10 September.

Tiada ulasan: